Malaysia Dateline

Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah

Martabatkan warisan kesenian Islam

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan hasrat untuk terus berusaha mencari peluang bagi memelihara dan memartabatkan warisan kesenian Islam di Selangor supaya ia dapat dihayati dan diwarisi oleh generasi masa depan.

Penganjuran pameran ‘Mihrab – Pameran Senilukis Bertemakan Masjid’, bermula dari 28 Okt hingga 18 Nov di Whitebox, Publika di sini merealisasikan hasrat dan usaha baginda dalam mengangkat ekspresi seni terhadap keunikan seni bina masjid di negara ini.

“Alhamdulillah, hasrat beta termakbul dengan adanya pameran seperti ini.

“Beta juga merakamkan penghargaan kepada karyawan tempatan yang menjayakan pameran ini terutamanya sumbangan mereka dalam menghasilkan karya-karya seni yang memartabatkan keindahan masjid-masjid di Selangor,” titah baginda ketika merasmikan pameran itu hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Fozi Ali, Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd Datuk Md Zubir Ansori Yahaya, Ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan Kanan Universiti Teknologi MARA dan UiTM Holdings Sdn Bhd.

Md Zubir dalam ucapannya menzahirkan komitmen UiTM dan UiTM Holdings dalam menyokong hasrat baginda dalam menganjurkan serta menghasilkan lebih banyak hasil seni yang bakal dijadikan sebagai rujukan generasi masa hadapan.

Hasil ilham Sultan Sharafuddin, pameran anjuran Segaris Art Center itu mempersembahkan sebanyak 74 karya seni yang dihasilkan oleh 38 penggiat seni tempatan dari pelbagai bangsa.

Antara yang mempamerkan hasil karya mereka adalah pelukis diraja Datuk Azman Yusof, Johan Marjonid, Khairuddin Zainuddin, Lee Eng Beng, Yong Look Lam, Nor Hanim Mohd Nor, Najib Bamadhaj dan Lina Tan.

— BERNAMA