Maritim M’sia tahan 2 bot, 24 awak-awak warga Vietnam

Maritim M’sia tahan 2 bot, 24 awak-awak warga Vietnam

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga buah bot nelayan tempatan dan tekongnya serta 24 awak-awak warga Vietnam kerana disyaki memiliki lesen bot meragukan serta pelanggaran syarat lesen.

Ketua Zon Maritim Malaysia Kudat, Lt. Komander Maritim Boon Chin Chau berkata ketiga-tiga bot berserta awak-awak yang berumur 26 hingga 60 tahun itu ditahan Rabu lalu di kawasan perairan Balambangan, 22 batu nautika dari Pulau Balambangan.

“Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Peraturan-Peraturan 8 (1) dan (2) kerana memiliki lesen bot meragukan dan di bawah Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat lesen yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Perikanan serta Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.”

“Dua daripada tiga bot tersebut dipercayai melakukan kesalahan pemalsuan lesen perikanan. Ketiga-tiga bot, tekong dan awak-awak terbabit seterusnya diiring ke Jeti Awam Kudat untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Boon berkata di bawah Akta Perikanan 1985, tekong atau pemilik bot berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta manakala setiap awak-awak bot berkenaan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Boon berkata sebanyak lima kes tangkapan bot nelayan asing Vietnam dan 10 kes tangkapan bot nelayan tempatan yang menggunakan khidmat awak-awak warga Vietnam direkodkan agensi itu sepanjang tahun lalu hingga setakat ini.

Boon juga memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen pelesenan bot dan pelesenan perikanan melibatkan Bot Nelayan Tempatan (BNT).

Katanya agensi itu memandang serius kesalahan pemalsuan dan salah guna dokumen bot serta lesen perikanan yang berlaku di perairan negara dan memohon kerjasama masyarakat agar melaporkan maklumat mengenai kegiatan seumpama ini kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Kudat ditalian 08-8611858.