Marzuki bidas Ramasamy samakan Bersatu dengan Umno

Marzuki bidas Ramasamy samakan Bersatu dengan Umno

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak harus disamakan dengan Umno kerana ia amat jauh berbeza, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya

Beliau berkata, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr.P.Ramasamy tidak berhak untuk mengubah pendirian dan prinsip perjuangan Bersatu.

“Beliau boleh mengeluarkan apa jua pandangan dan kenyataan.

“Walau bagaimana pun, pendirian dan prinsip Bersatu untuk terus memperjuangkan hak orang Melayu dan Pribumi tidak harus dipertikaikan.

“Bersatu akan tetap berpegang pada prinsip perjuangan dan wadah perjuangan ini adalah untuk kebaikan negara keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau mengulas kenyataan Dr.P.Ramasamy yang mendakwa bahawa Bersatu tidak ubah seperti Umno yang mengamalkan perjuangan politik perkauman melampau selama ini.

Tegas Marzuki lagi, perjuangan untuk orang Melayu tidak bererti Bersatu menidakkan hak kaum-kaum lain sebagai rakyat negara ini.

“Seharusnya sebagai seorang pemimpin dalam kerajaan yang sedang memerintah beliau harus berfikir dahulu setiap kenyataan yang dikeluarkan.

“Apabila berada dalam kerajaan dan sebagai pimpinan sudah pasti ia menjadi perhitungan masyarakat setiap yang dizahirkan.

“Bersatu amat jauh bezanya dengan Umno yang penuh dengan pelbagai kepincangan termasuk korup, rasuah, kronisme, ketidaktelusan, penyelewengan dan seumpamanya,” tambah beliau lagi.

Sebelum ini Ramasamy menyelar Bersatu kerana menyokong pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat pelajar Bumiputera dan 10 peratus kepada bukan Bumiputera dalam Program Matrikulasi yang disifatkannya sebagai tidak mencerminkan era Malaysia Baharu.