Malaysia Dateline

MAS beri kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi walaupun alami kerugian

Sebarang keputusan yang bakal diambil kerajaan berhubung masa depan Malaysia Airlines Bhd. (MAS) harus dilihat secara lebih jauh bukan setakat mengira untung dan rugi syarikat penerbangan itu sahaja.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, meskipun kerugian MAS memberi kesan negatif kepada prestasi kewangan syarikat induknya itu, MAS secara hakikat telah memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, terdapat manfaat yang besar dihasilkan oleh syarikat-syarikat penerbangan tempatan secara keseluruhan iaitu daripada segi pelancongan, memudahkan urusan perniagaan, temujanji kerja dan limpahan ekonomi kepada industri-industri lain.

“Seperti yang saya katakan tadi, penerbangan adalah satu industri di mana anda perlu lihat dari keseluruhan rantaian, di mana banyak industri (lain yang berkaitan) telah mendapat keuntungan,”

“Saya rasa penting untuk kerajaan untuk memahami kos (yang perlu ditanggung) seperti pelaburan terhadap pesawat-pesawat baharu, penambahbaikan dan sebagainya sekiranya mahu meneruskan operasi Malaysia Airlines.

“(Dalam masa yang sama) sekiranya (memilih) untuk menutup MAS, kerajaan perlu memberi pertimbangan terhadap kerugian yang lebih besar kepada ekonomi,” katanya semasa sesi panel bertajuk Mandat Baharu, Peluang Baharu di Forum Pasaran Modal Invest Malaysia 2019 hari ini seperti dipetik MG.

Tambah Shahril Ridza, dalam isu yang sama, kerajaan dan pemain industri mungkin perlu melihat semula dan melakukan penstrukturan semula industri penerbangan itu sendiri.

“Kita hanya perlu mencari jalan baharu di mana syarikat penerbangan itu sendiri perlu menjadi lebih efisyen dan kita mungkin perlu melihat semula kepada industri (penerbangan) itu sendiri.

“Mungkin terdapat kemungkinan untuk menstruktur semula industri penerbangan.

“Saya rasa ia lebih baik (untuk melihat semula kepada industri penerbangan) kerana peningkatan permintaan tidak sepantas pertumbuhan kapasiti,” jelasnya.

Menurut Shahril Ridza, jika dilihat kepada industri penerbangan Malaysia secara keseluruhan, jelas menunjukkan ia adalah sebuah industri yang mencatatkan pertumbuhan kapasiti melebihi peningkatan penumpang sebenar.

Ketika ditanya berapakah yang perlu disuntik kerajaan sekiranya mahu melaksanakan pelan pemulihan MAS 2.0, Shahril Ridza berkata, Khazanah Nasional masih menantikan pelan kukuh daripada syarikat penerbangan tersebut.

Buat masa ini, dana yang diberi kerajaan bagi pelan pemulihan MAS pada tahun 2014 masih berbaki, katanya.

“Dana tersebut masih belum habis sepenuhnya, akan ada suntikan pada tahun ini. Kami akan umumkan kemudian,” katanya tanpa menjawab berapakah baki dana yang masih tinggal.

Pada tahun 2014, kerajaan melaksanakan sebanyak 12 inisiatif bagi memulihkan semula syarikat penerbangan tersebut termasuk suntikan dana RM6 bilion, menyahsenarai MAS daripada Bursa Malaysia dan diletakkan sepenuhnya di bawah Khazanah Nasional serta memberhentikan kira-kira 6,000 kakitangan.

Melalui pelan tersebut, MAS sepatutnya kembali mencatatkan keuntungan selepas tiga tahun dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia atau pada 2017, bagaimanapun gagal.

Baru-baru ini, isu MAS menjadi perdebatan semula apabila Khazanah Nasional merekodkan kerugian pertama sebanyak RM6.3 bilion dalam tempoh 10 tahun disumbang terutamanya oleh rosot nilai berjumlah RM7.3 bilion

Kebanyakan rosot nilai itu merupakan pelaburan Khazanah Nasional di dalam MAS.

Ini menyebabkan terdapat pihak yang mencadangkan supaya syarikat penerbangan nasional itu ditutup atau dijual kepada pihak lain