Malaysia Dateline

Mas Ermieyati sertai Bersatu

Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini mengambil keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau menyerahkan sendiri borang permohonan keahlian parti kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mas Ermieyati dalam kenyataan hari ini dipetik berkata, keputusan beliau itu adalah kerana ingin mencari penyelesaian yang lebih berkesan dalam membela kepentingan terutama pengundi di parlimennya, Masjid Tanah.

“Insya-Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha Bersatu selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan wanita muda, di samping bersikap lebih terbuka dalam memperjuangkan nasib belia supaya mereka dapat merasai satu kehidupan yang lebih baik dan juga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Masjid Tanah, Melaka dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, dari peringkat nasional sehingga ke akar umbi.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti kerana berkenan menerima penyertaan saya,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mas Ermieyati berharap Malaysia baharu akan mewujudkan budaya politik lebih matang, inklusif selain meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan.

Katanya, sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.

“Kepada Allah jua kita berserah,” katanya.