Mas Idayu dianggap beri komen ‘membunuh’, Sissy Iman batal lancar album sulung

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi dan pengacara, Sissy Iman bertindak membatalkan pelancaran album sulungnya selepas mendapat kritikan pedas dari juri pertandingan realiti Famili Duo, Mas Idayu.

Siapa sangka, komen ‘membunuh’ dari pengkritik yang lebih mesra dipanggil Mami itu begitu meninggalkan kesan dalam hati Sissy Imann Mohammad Kamil.

Sissy yang merakamkan album tersebut di kota London pada tahun lepas merancang untuk mula memasarkannya pada bulan hadapan dengan harga RM50 bersama ‘merchandise’.

Bahkan, dia sudah berencana untuk mengadakan majlis sidang media bagi mengumumkan pelancaran naskhah hasil titik peluhnya sepanjang berada di industri seni itu.

“Tanggal 2 Februari adalah hari sepatutnya saya lancar ‘merchandise’ untuk album yang saya rakam tahun lepas di Abbey Road Studios. Cakera padat (CD) fizikal sudah selesai cetak, kita tengah cetak kole (mug), baju dan beberapa cenderahati lain.

“Kita siap rancang kumpul rakan-rakan media dan kawan-kawan rapat untuk sidang media serta kongsikan album yang saya buat dengan penuh kasih sayang.

“Tuhan sahaja yang tahu betapa terujanya saya, tetapi keterujaan itu mungkin sudah hilang. Pagi tadi bangun, bila nampak CD itu, saya rasa tidak boleh tengok tanpa rasa sedih. Jadi saya ‘lepaskan’ album ini sebagai sumbangan sahaja,” luahnya di akaun Instagram miliknya.

Apakan daya, manusia hanya bisa merancang dan Allah SWT yang menentukan, setelah hampir 10 tahun mengumpul wang, Sissy harus melupakan impiannya itu.

Menurutnya, berbeza dengan rencana asal, dia membuat keputusan untuk ‘menderma’ albumnya itu dengan nilai sumbangan bermula dari RM20 bagi menampung kos percetakan dan penghantaran.

Terdahulu, Sissy dan sepupunya, Naim Daniel tampil menyanyikan lagu Jampi milik Hael Husaini di dalam kosert minggu keenam Family Duo.

Niat untuk melaksanakan pembaharuan dan kelainan dalam persembahan, mereka malah mendapat kritikan pedas dari Mas Idayu yang menyoalkan kebolehan mereka sebagai penyanyi.

Sissy yang tidak dapat menahan sebak merasakan dirinya tidak lagi ‘disayangi’ muzik.

Baca juga: Pekerja 7-Eleven cuci microwave guna mop lantai, warganet beri amaran tempat goreng kentang ‘M’ juga kotor