MAS perlu diselamatkan tanpa dijual ke syarikat asing

MAS perlu diselamatkan tanpa dijual ke syarikat asing

Pemuda AMANAH berharap ada satu solusi yang kukuh dan bersifat jangkamasa panjang dapat diambil tanpa memberi kesan kewangan kepada kerajaan dan semua pihak berkepentingan MAS.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemudanya, Faiz Fadzil dalam kenyataan beliau.

Menurut Faiz lagi, sejak tahun 2001, kerajaan telah membelanjakan hampir RM24 bilion hanya bagi memastikan MAS dapat terus beroperasi, tanpa mengalami risiko gulung tikar.

“Melihat kepada prestasi kewangan MAS ketika ini, adalah dijangkakan kerajaan terpaksa meneruskan suntikan dana kepada syarikat penerbangan tersebut.

“Bagi memastikan kelangsungan operasi MAS, Pemuda AMANAH mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan pemilikan MAS kepada pelabur swasta sepertimana yang telah dilaksanakan sebelum tahun 2014.

“Juga ingin disarankan agar MAS disenaraikan semula di Bursa Malaysia supaya para pelabur swasta seperti institusi pelaburan dan pelabur runcit tempatan turut dapat membeli saham syarikat tersebut, ” jelasnya lagi.

Tegas Faiz, kerajaan juga dicadangkan supaya mengurangkan pegangan ekuiti mereka daripada 100 peratus tatkala ini, kepada sekitar 30 peratus.

Malah katanya lagi, langkah ini akan dapat membantu kerajaan setelah 100 peratus kerugian MAS ketika ini ditangggung oleh kerajaan.

“Pada masa yang sama, kerajaan digesa untuk memegang ‘golden share’ dalam MAS selepas proses penyenaraian di pasaran saham.

“Sekiranya ini dapat dilaksanakan, kerajaan masih mempunyai kata putus dalam beberapa aspek pengurusan MAS walaupun hanya memegang ekuiti minoriti.

“Dengan ini, ia dapat memastikan agar identiti MAS sebagai syarikat penerbangan nasional dapat terus dipelihara, ” ujarnya.

Justeru itu tambahnya, pegangan ekuiti majoriti MAS tidak perlu dijual kepada pelabur atau syarikat luar negara supaya peranan MAS dalam negara tidak berkurangan pada masa hadapan.

“Pemuda AMANAH ingin mencadangkan agar beberapa individu yang pernah menyumbang kearah kecemerlangan MAS pada zaman kegemilangannya dilantik semula menganggotai lembaga pengarah syarikat.

“Ini termasuklah Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas ketua pegawai eksekutif MAS pada era 80an yang telah memperbaiki kedudukan kewaangan MAS tatkala itu.

“Disamping itu, salah satu ‘growth engine’ MAS yang perlu diberikan perhatian khusus adalah perkhidmatan penerbangan kos rendah Firefly, ” saran beliau.

Katanya lagi, model operasi Firefly dicadangkan ditukar dan dibentuk selari dengan strategi dan model Air Asia.

“Pelan pemulihan kedudukan kewangan MAS yang diperkenalkan oleh kerajaan BN sebelum ini telah gagal setelah ia terus mengalami kerugian pada tahun 2017 dan 2018.

“Sejak pengambilalihan MAS oleh Khazanah pada akhir 2014, syarikat penerbangan tersebut telah merekodkan kerugian terkumpul sejumlah RM2.4 bilion bagi tahun 2015 hingga 2017 dengan nilai pelaburan sebanyak RM6 bilion.

“Oleh itu, tadbir urus baik korporat atau ‘corporate good governance’ perlu diberikan penekanan utama dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan MAS, ” jelasnya.

Justeru itu kata Faiz, Pemuda AMANAH amat mengharapkan kebijaksanaan kerajaan Pakatan Harapan mengambil langkah penyelesaian yang terbaik dan holistik dengan manjalankan kajian mendalam serta menyeluruh termasuk perbincangan dengan semua ‘stake holder’ MAS.