MAS setuju Kampung Baru berusia 119 tahun dimodenkan

MAS setuju Kampung Baru berusia 119 tahun dimodenkan
Shamsuri Suradi

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampung Baru, Shamsuri Suradi menyifatkan, pihaknya bersetuju sekiranya Kampung  Baru berusia 119 itu dibangunkan, namun penjelasan pembangunan secara lebih terperinci diperlukan.

Katanya, jika dilihat melalui cadangan pihak kerajaan terhadap pembangunan yang dirancang itu, ianya adalah lebih menjurus ke arah faktor ekonomi.

“Pada pendapat kami, dari segi ekonomi kita pecahkan kepada 50 peratus, 10 peratus adalah berkaitan sejarah dan lain-lain. Kita tidak mahu esok pembangunan kita ini jadi macam orang Singapura.

“Di Singapura, mereka ini maju dengan wujudnya badan kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan Kampong Glam dan Kampung Melayu Geylang. Pemilikan tanah juga dilihat penting iaitu sampai bila-bila mestilah Melayu sebab bagi saya, kerajaan sebenarnya fokus kepada pembangunan tanah di bawah MAS.

“Kenapa tidak kita seimbangkan pembangunan. Dalam masa 10 tahun, kita utamakan tentang transformasi kampung terlebih dahulu dan kawasan-kawasan perniagaan ditumpukan sepanjang Jalan Raja Abdullah untuk dijadikan pusat komersial. Di bahagian dalam pula dijadikan tempat kediaman,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, baru-baru ini.

BacaSituasi menang-menang

Malaysia Dateline bertemu pihak MAS bagi mendengar pandangan mereka berhubung pembangunan yang bakal dilaksanakan di kampung tersebut.

MAS ditubuhkan dengan berdasarkan peruntukan Seksyen 3 (1)The Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1950 yang meletakkan urusan pentadbiran dan kawalan Kampung Baru di bawah kuasa Lembaga Pentadbir MAS.

MAS boleh membuat undang-undang kecil sendiri dan bertanggungjawab melulus dan menetapkan syarat pelan bangunan dan sambungan rumah.

Difahamkan, terdapat 380 lot tanah di bawah MAS yang merangkumi 5,800 pemilik.

Dalam pada itu, Shamsuri berkata, pembangunan yang mahu dijalankan mestilah melengkapi antara satu sama lain seperti turut memberi tumpuan kepada infrastruktur.

Baca: Tapak berniaga

“Infrastruktur itu bukanlah seperti yang sekarang ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) korek jalan, kabel putus dan paip pecah. Infrastruktur digubah semula dan rangkaian internet juga perlu ada.

“Kami setuju kampung ini dibangunkan. Sejak dari zaman kerajaan terdahulu lagi, memang kami setuju pembangunan dijalankan di sini. Selepas 100 tahun usia kampung ini, memang kami perlukan pembangunan,” katanya lagi.

Shamsuri turut memberitahu, tiada sebarang manfaat akan diperoleh jika pemodenan terhadap kampung itu tidak dijalankan.

“Kalau rumah-rumah di sini masih kekal seperti sekarang (tiada pembaharuan), pemilik dan pewaris kampung tidak akan mendapat sebarang manfaat,” ujarnya.

Sejarah Kampung Baru sebagai kawasan penempatan orang Melayu terbesar di ibu kota bermula pada 1899 melalui tanah kurniaan Sultan Selangor ketika itu, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

Keluasan asalnya ialah 223 ekar dan menaungi tujuh kampung, iaitu Kampung Hujung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Masjid, Kampung Pindah, Kampung Paya, Kampung Atas A dan Kampung Atas B.