Malaysia Dateline

Masa AMANAH ubah cara menuju PRU-15

AMANAH yang dilihat progresif dalam kerangka Muslim Demokrat gagal mewarnai wacana Malaysia yang lebih berpaksikan Melayu-Islam konservatif.

AMANAH merupakan komponen utama Pakatan Harapan sepertinya tidak mampu menembusi masyarakat Melayu luar bandar yang kekal menjadi kubu utama Pas dan Umno.

Bahasa Rahmatan Lil Alamin dilihat terlalu moden tidak merakyat malah melangit tinggi tidak digapai maksudnya. Gagasan Rahmatan Lil Alamin tidak berjaya menaut hati.

Malah, hanya berlegar-legar di kalangan intelektual. Gagasan ini nampaknya terlalu asing dan tidak disambut baik oleh rakyat kebanyakan, lebih seperti syok sendiri, ‘hanya kau dan aku saja faham’.

Gagasan pembangunan negara berpaksikan tema Islam bukanlah asing malah pernah dibawa oleh Tun Abdullah Badawi dengan Islam Hadhari kemudian dibalas pula dengan Hadharah Islamiah oleh Abdul Hadi Awang.

Tetapi perbicangan tema ini sepertinya lebih merakyat mudah difahami bahkan debat kedai kopi juga rancak, jika ditanya kepada rakyat kebanyakan mereka tangkap saja idea gagasan Islam Hadhari. Tetapi bila ditanya Rahmatan Lil-Alamin, diam membisu.

AMANAH mesti lebih realistik, lebih bijak membaca politik Melayu Islam kerana negara kita pada PRU-15 akan didominasi oleh 70 peratus pengundi Melayu.

Jelas, pada PRU-14 AMANAH ditolak di kawasan majoriti Melayu lihat saja di Pantai Timur Kelantan, Terengganu, Pas sapu bersih licin kilat hingga tiada satu pun kerusi Parlimen yang dimenangi oleh AMANAH. Semuanya tumbang di tangan Pas. Hanya kerusi yang mempunyai tiga penjuru dan kawasan urban saja dimenangi oleh AMANAH.

Dengan keluarnya Bersatu yang membawa perjuagan naratif Melayu-Nusantara dari PH, AMANAH mesti bijak mengisi kelompongan ini iaitu menyantuni dan menjuarai isu Melayu-Islam.

Komponen PH akan lompong yang sangat besar apabila tiada parti komponen yang mengisi naratif Melayu-Nusantara ini. AMANAH mempunyai potensi besar dan mampu menjadi tunjang kepada kekuatan Pakatan Harapan.

Pemimpin AMANAH dilihat berjiwa besar tahan uji tahan maki. Lihat saja Dr Mujahid hari-hari dicaci dikeji tetapi tetap mampu melangkah dengan senyuman.

Dr Dzulkefly terus ditangisi atas asbab tugasnya yang sangat cemerlang sebagai Menteri Kesihatan. AMANAH mempunyai kualiti pimpinan yang mantap dan setiakawan.

Tukar strategi terutamanya imej pakaian pada ahli dan pimpinan. Ke mana hilangnya kopiah? Pemakaian luaran berserban adalah senjata ampuh untuk menawan hati rakyat kebanyakan.

Belum lagi ceramah dimulakan sudah terpancar imannya. Imej berkemeja korporat belum lagi sinonim oleh rakyat Malaysia jika membawa imej Islamik.

Apa salahnya berbaju Melayu jika tidak berserban sekalipun. Malahan, rata-rata ahli yang masih merokok malah ada yang tidak mengikuti saranan mantan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly berkenaan larangan merokok di tempat awam. Jika ahli sendiri tidak patuh, bagaimana rakyat kebanyakan?

Janganlah diratib 1MDB lagi, cukup-cukuplah.

* Abdullah Fikri Bariman ialah Jawatankuasa Pilihan Raya AMANAH Batu Pahat.