“Masa bapa aku sakit, suami tak bagi pergi, siap doakan aku kemalangan, alasan dia sebab tak ada orang nak jaga anak, bila bapa meninggal…”

Oleh MAISARAH AISYA

Apabila suami dan isteri bercerai, orang yang paling terkesan pastilah anak apatah lagi terpaksa membesar tanpa kehadiran ibu atau bapa kandung.

Seorang wanita berkongsi mengenai suaminya yang tidak membenarkan dirinya melawat ayah kerana ‘hal anak-anak’.

Di bawah adalah perkongsian tersebut.

“Semalam saya ada terbaca kisah siapa jaga ibu aku. Terdetik nak berkongsi pengalaman sendiri. Awal kisah saya, ibu bapa bercerai sejak saya belum bersekolah.

Sudah lama sebenamya saya tidak jumpa bapa, kami jumpa semula kerana saya perlu cari wali untuk berkahwin.

Selepas itu, bapa saya mula nak rapat kembali dengan saya. Sikit-sikit saya bolehlah, tetapi memang rasa janggal.

Hubungan kami setakat selang beberapa lama, bapa saya akan telefon tanya khabar. Saya memang tak pandai nak jadi anak dia disebabkan dah lama tak jumpa.

Kalau nak jumpa pun, hanya pada hari raya saya akan melawatnya. Baru-baru ni, bapa saya tu sakit.

Dah keluar masuk wad berselang minggu, hospital yang telefon bagitau saya. Pihak doktor macam skeptikal sebab saya tak tahu ayah saya sakit

Tak apalah, saya cuma bagitahu memang kami tak tinggal sama dah lama dan terpulanglah mereka nak fikir apa.

Orang yang tak ada dalam kasut keluarga broken mungkin tak akan faham. Malam tu, ayah saya dah tenat. Di sinilah bermulanya kisah yang menyedihkan hati saya.

Saya disuruh datang ke hospital pada malam itu juga, tetapi malangnya suami saya tak benarkan saya pergi.

Dia suruh saya telefon adik saya supaya uruskan bapa saya. Masalahnya yang cuba berbaik dengan bapa saya itu hanyalah saya.

Adik beradik yang lain agak dingin selepas apa yang berlaku pada kami waktu kecil dulu.

Membebel-bebel dia, siap cakap nanti kalau saya kemalangan kereta malam-malam macam ni jangan baru nak menyesal. Sampai hati betul suami doakan saya macam tu.

Dia bising-bising, katanya lagi anak-anak tak dapat diuruskan jika saya tak ada di rumah nanti.

Padahal anak-anak bukan bayi pun lagi dan dia boleh sahaja bantu saya tengokkan anak-anak dalam keadaan darurat macam ni

Saya fikir bapa saya dah tenat, saya terpaksa cakap lembut-lembut untuk ke hospital walaupun hati saya terkesan dengan ucapan suami tadi.

Kalaulah saya betul-betul ditimpa kemalangan tu, saya fikir suami pasti akan bebel lagi panjang lebar.

Saya bermalam di hospital dengan beberapa orang makcik di sebelah bapa dan anak-anak mereka. Takdir, bapa saya meninggal subuh itu. Saya buka telefon nak bagitau suami.

Saya buka mesej, suami membebel lagi tak payah jaga ayah saya, telefon saja adik suruh tengok, balik rumah jaga anak

Saya sedih, saya bagi tahu dia yang bapa saya dah meninggal dan sebagai anak perlu uruskan beberapa dokumen.

Semua hal tu akan selesai hampir ke waktu tengah hari. Jenazah bapa dibawa oleh ambulans balik ke kampungnya, tapi saya tak ikut sebab suami dah membebel lagi pasal anak.

Penat-penat macam tu pun saya singgah juga beli makanan tengah hari untuk mereka sedangkan suami boleh saja uruskan.

Tetapi dia masih harapkan tanggungjawab daripada pihak saya. Kampung bapa dengan rumah saya hanya langkah daerah.

Saya janji dengan makcik nak ikut ke perkubuuran petang-petang tu. tapi sebenarnya saya cakap-cakap.

Kalau saya dah balik dan saya nak keluar semula, kami suami isteri akan bergaduh lagi. Kalau saya jujur, nanti makcik mesti macam-macam tanya, lagi saya tak larat nak jawab.

Begitulah selalunya saya cari macam-macam alasan supaya tak konflik dengan harapan suami.

Balik tu, saya tidur saja dan malamnya masak dan jaga anak macam biasa. Suami saya sukalah agaknya saya tak buat perangai

Kami pun tak bercakap pasal hal bapa saya meninggal itu. Esoknya saya bagitau nak tengok kubur bapa sekejap.

Suami kata boleh, tetapi saya pulang lambat sikit sebab tempat jauh dan petang-petang jalan kesesakan.

Sebelum ke sana, saya dah siap-siap masak dan kemas rumah semua, sepatutnya tiadalah apa-apa masalah, saya berfikiran begitu.

Saya bawa semua anak juga. Belum 8 malam pun waktu saya balik tu, tapi suami dah mencebik-cebik.

Kemudian macam selalu, cakap saya macam-macam, sedangkan pada hari tu semua keperluan saya dah siapkan dan anak pun suami tak perlu jaga.

Sama saja seperti hari-hari biasa memang suami balik kerja tak perlu pun nak jaga anak, tapi dia punya jeling kat saya lain macam.

Entahlah, saya tak tahu apa maksud. Saya macam nak cakap dengan suami, bapa saya dah mati ni, takkanlah satu hari saya nak uruskan kuburnya pun sampai saya kena hadap amarah emosi dia?

Tapi macam biasalah, saya hanya mampu cakap dalam hati yang sedih dan pilu. Selepas kejadian tu, tiga hari baru kami bercakap semula dan suami pun tidak pujuk saya.

Itu menandakan memang dia protes dan saya yang perlu minta maaf. Secebis kisah kurang persefahaman di antara kami yang saya hanya mampu simpan di dalam hati.

Semoga roh bapa saya dicucuri rahmat.”

Baca juga: “Aku minta suami tunaikan nafkah walaupun RM10, tak sangka hidup berubah sekelip mata lepas suami amalkan”