Saya pernah sebut tahun lepas bahawa Pas berakal pendek. Maksud saya, para pemimpinnya, dari Presiden ke bawah. Sebab itu, selera saya untuk menulis tentang politik parti hilang.
Pada saya, mereka bukan tidak tahu kesan buruknya apabila mereka membelakangkan Muafakat Nasional (MN).
Namun, kadang-kala hidup di puncak politik ini, menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai peluang lain. Mustahil mereka tidak faham realiti politik di Malaysia. Kena berpakat kalau nak jadi parti pemerintah.
Apapun, saya tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Tapi rekod Pas setelah menolak MN, memang menjijikkan. Jadi, tak menghairankan jika sesetengah pihak rasa getik bila diajak untuk berbincang kembali.
Namun, politik ialah dunia yang segalanya mungkin. Malah, jika memang benar inginkan politik yang lebih stabil, kenyataan pemimpin Pas yang tiba-tiba kembali “waras” itu boleh dilihat sebagai satu peluang.
Malah, saya fikir, jika mereka bertemu di meja perbincangan, Pas tidak memiliki banyak pilihan, kecualilah Pas masih lagi nak cari calon ‘cina buta’, bukannya nak sangat pada kestabilan politik.
Maksud saya, kalau mereka masih nak makan keliling, maka, mereka boleh lagi memilih khemah yang lain. Isunya sama saja, akan ada pihak yang menentang.
Tetapi, pada saya penentangan itu bukanlah kerana prinsip sangat tetapi lebih kepada tindakan yang ingin dilihat anak jantan yang tidak sesekali mahu menjilat ludah sendiri.
Pemimpin AMANAH tidak mahu menjilat ludah, begitu juga DAP dan beberapa pemimpin utama parti lain. Tapi mereka tahu realiti politik Malaysia. Jadi, mereka bertindak sesuai pada waktu dan keadaan yang memerlukan.
Pas juga tahu realiti sebenar politik Malaysia. Cuma mereka tidak tahu bertindak pada masa dan keadaan yang tepat. Sebab itu, mereka akal pendek.
Apapun tindakan mereka, saya tidak fikir masa depan Malaysia boleh diharapkan sepenuhnya kepada golongan berakal pendek.