Malaysia Dateline

Masa depan rakyat Malaysia bakal lebih cerah bawah PH

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang, orang Melayu akan kehilangan hak dan menjadi “terbangsat” di tanahair sendiri adalah pembohongan yang nyata.

Beliau merujuk kepada ucapan Najib sepanjang Persidangan Agung Umno (Pau) 2017 yang diadakan di PWTC minggu lalu.

“Tidak ada rakyat Malaysia, apatah lagi orang Melayu yang jadi “terbangsat” jika Pakatan Harapan menang.

“Hakikatnya, rakyat Malaysia akan mempunyai masa depan yang lebih cerah, bebas daripada rasuah, kronisme dan juga GST. PH berpendirian GST perlu dihapuskan kerana ia membebankan rakyat,” kata beliau memetik kenyataan medianya yang disiarkan dalam blognya.

Sebaliknya pula, jika BN terus menang, masa depan Malaysia akan dicuri oleh mereka yang korup, para kroni dan penyokong-penyokong GST.

Dalam kenyataan itu Guan Eng melahirkan rasa kecewa atas sikap PM yang memainkan isu perkauman dan menakut-nakutkan rakyat supaya menjauhi pembangkang.

“Ini kali pertama Umno menyerang DAP dengan mengaitkan perkataan Cina, sikap buruk dalam politik yang secara tidak langsung menyerang masyarakat Cina.

“DAP tidak pernah menyerang Umno sebagai Melayu Umno atau Pas sebagai orang Islam Pas,” katanya.

Tetapi kata beliau, kenyataan PM yang sebegitu rupa sebenarnya untuk menyembunyikan rasa terdesak BN tentang kemungkinan besar mereka kalah dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.