Masa kecil impi nak jadi kaya, kini Nora Danish hanya mahukan kehidupan lebih selesa

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak berangan mahu menjadi kaya semasa zaman kanak-kanak dahulu tapi semakin dewasa, hidup yang selesa menjadi impian ramai.

Nak kaya perlu usaha, jadi masa bersama keluarga juga terabai, bila dah tua dan tidak mampu ke mana-mana baru nak nikmati hasil semasa muda, tapi kudrat sudah tiada.

Buat pelakon dengan wajah awet muda, Nora Danish sebolehnya mahu mencari ketenangan dalam hidup berbanding kejar kekayaan.

Sudah memasuki industri pada tahun 2004, pelakon berusia 42 tahun itu menganggap kekayaan bukanlah segalanya dalam perkongsian bersama dalam sebuah audio siar.

“Kalau ketika kanak-kanak, nak jadi kaya dan nak bagi ibu hidup senang tetapi sekarang, jujur saya rasa, kekayaan bukanlah benda pertama yang saya cari.

“Saya cuma nak hidup selesa, boleh pergi ke mana yang saya nak. Bila hati mendapat ketenangan, pergi Perhentian (pulau) pun awak dah rasa bersyukur.

“Ketenangan itu yang saya mahukan. Saya cuma nak hidup dengan tenang,” katanya dalam audio siar tersebut.

Meskipun terlihat sempurna, Nora mengakui kehilangan bapa sejak dibangku sekolah menyebabkan dia tidak merasa pengalaman memiliki sebuah keluarga lengkap.

“Saya tak pernah tengok keluarga yang betul-betul bahagia kerana bapa meninggal dunia ketika saya masih kecil.

“Jadi, saya dibesarkan ibu saya sendirian bersama kakak-kakak saya. “Saya tak pernah tengok macam mana figura bapa dan ibu saya dijaga seorang suami.

“Tiada depan mata saya, kosong,” ujarnya.

Baca juga: Bella tersinggung netizen senaraikan namanya dalam ‘list’ janda untuk dihalalkan