Malaysia Dateline

Masa mengundian akan berakhir secara berperingkat

Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen (PRK) P.078 Cameron Highlands bermula pada pukul 8 pagi ini dengan ia dijangka berakhir secara berperingkat mulaI pukul 1 tengah hari hingga pukul 5.30 petang ini mengikut kawasan pengundian.

Kawasan pilihan raya tanah tinggi itu turut merangkumi dua kawasan Dewan Undangan Negeri – Tanah Rata dan Jelai – dengan 31,639 pengundi layak mengundi hari ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 86 saluran mengundi untuk mempercepatkan proses mengundi.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi DAP Pahang M.Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan (PH); bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor mewakili Barisan Nasional (BN); serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib yang merupakan bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki dan Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan dengan kelulusan dari Amerika Syarikat.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei (PRU14) tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Berikut adalah perkembangan mutakhir perjalanan PRK P.078 Cameron Highlands;

8.15 – Walaupun suhu di sekitar 15 darjah Celsius di Brincang, Tanah Rata dan Ringlet,pengundi dilihat mula beratur di pusat-pusat pengundian seawal pukul 7.30 pagi. Pengundi juga dilihat mula beratur seawal pukul 7.30 pagi di Sekolah Kebangsaan Tanjong Gahai, lebih kurang 100 kilometer dari sini, di mana Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail dijangka mengundi.

8.20 Kebanyakan pengundi awal merupakan warga emas dan yang berkerusi roda, antaranya Thai Pik Chun, 85 yang berkerusi roda dan anaknya Thai Yam Fon, 57, yang mengundi  di Mengundi SJK (C) Bertam Valley.

8.25. Calon Bebas, Wong Seng Yee mengundi di SJK(C) Bertam Valley.- BERNAMA