Malaysia Dateline

Masa muda masa yang berapi-api

Adam Adli
ADAM ADLI

Minggu-minggu kebelakangan ini saya tidak punya ilham yang banyak untuk menulis. Sebenarnya bukan baru-baru ini sahaja; sudah agak lama. Tiada perkara menarik untuk dimuntahkan sebagai tulisan lengkap. Beberapa kali disusun ayat menjadi perenggan, lalu dipadam semuanya. Ada juga tulisan yang hampir siap, tetapi dibiar tergantung beberapa hari. Sama juga, akhirnya dibakul sampahkan sahaja tanpa diteruskan.

Nak diajukan buah fikiran baharu – saya sendiri tidak terinspirasi daripada apa-apa peristiwa yang sedang berlaku, walau suhu politik kita sekarang agak panas. Bukan langsung tiada pendapat, namun tidak disempurnakan hingga mampu ditumpah ke atas papan kekunci. Berfikir hanya separuh jalan.

Nak dituliskan lagi kritik – yang entah kepada siapa nak ditujukan, saya sendiri mulai bosan. Berapa banyak kritik telah ditulis, hampir semuanya seputar idea yang sama. Kalau tidak bercakap soal hanyir politik, mungkin hanya mendesak kawan-kawan dalam politik untuk memperjuangkan perubahan. Perubahan apa pun saya sendiri hampir kabur maksudnya. Kalau diteruskan juga tulis hal-hal yang sama, hilanglah nilainya, hanyut jadi retorik kosong semata.

Merenung skrin komputer yang masih kosong tanpa perkataan, saya tarik beberapa buku berkait politik yang tegak menghuni rak kecil di sebelah meja tulis.

Tajuk-tajuknya berat, mana tahu kalau dapat mengetuk sedikit sebanyak kotak fikiran. Hampa, tajuk-tajuk yang ditarik tadi tidak juga memberi sebarang inspirasi. Isi-isinya tidak menggambarkan apa yang sedang melayang dalam fikiran. Saya susunkan kembali buku-buku tajuk berat tadi, sehinggalah terpandang buku kecil berwarna merah di hujung rak – Molotov Koktel, oleh saya sendiri. Saya yang masih berdarah muda.

Saya sudah tidak punya sebarang salinan buku ini lagi. Beberapa salinan cenderahati yang diberikan oleh penerbit dahulu telah habis dihadiahkan kepada kawan-kawan. Ada juga diambil beberapa dozen lagi dari penerbit kononnya untuk dijual sendiri – juga habis licin, lebih separuh akhirnya diagihkan sahaja sebagai hadiah, sehingga akaun saya dengan penerbit jadi negatif. Jadi, dari mana datangnya salinan ini?

Ternyata daripada catatan di halaman pertama, ini adalah salinan milik isteri saya; yang dihadiahkan kepadanya ketika zaman bercinta dahulu. Masih ada resit lama kedai makan yang telah pudar dijadikan penanda buku — resit tahun 2014 – tahun terbitnya buku ini. Ditandakan pada tajuk terakhir yang belum habis dibaca. Tidak pasti kenapa bacaannya terhenti dan tak disambung. Mungkin saya perlu bacakan sendiri tajuk tersebut buatnya nanti.

Apabila diingat kembali, saya mula menulis untuk beberapa laman sesawang dan terbitan bercetak sekitar 2012, dan buku ini adalah kumpulan tulisan-tulisan tersebut yang diterbitkan oleh Faisal, seorang teman yang juga penerbit Merpati Jingga. Antara tidak sedar, dalam tempoh dua tahun sahaja sejak 2012, saya telah menulis sebegitu banyak sehingga boleh dihimpun menjadi buku ratusan halaman. Kalau menurut teman yang membantu saya mengumpul semula tulisan-tulisan yang bersepah dahulu – masih ada sebenarnya baki tulisan-tulisan lain yang jumlahnya cukup untuk dijilidkan menjadi sekurang-kurangnya sebuah lagi buku.

Dari mana datangnya semangat dan ilham untuk menulis dahulu? Saya belek kembali tulisan-tulisan lama – tulisan zaman bujang yang ditulis di merata-rata tempat — tentang banyak perkara dan masalah-masalah yang berlegar di sekeliling. Itulah kuncinya. Saya berada di merata-rata tempat, melihat banyak perkara, dan memikirkan banyak masalah sekeliling. Saya jarang menumpukan masa buat diri sendiri – berbanding sekarang. Begitu ironi, ketika hampir tidak pernah lekat di rumah dan sibuk mengejar itu dan ini, saya masih berupaya menulis dengan begitu rancak. Menyusun ayat menjadi perenggan, perenggan menjadi tulisan yang boleh tahan kaya dengan isinya walau agak naif. Hari ini, pada waktu saya punya lebih banyak ruang dan masa, menekan papan kekunci untuk menyusun idea pun jadi pekerjaan yang sukar.

Sedikit sebanyak, apabila dibelek-belek kembali buku lama tersebut, api menulis yang segan-segan menyalanya sekarang terasa membahang kembali. Harap teruslah ia membahang sehingga kembali marak. Alang bagusnya kalau saya boleh menulis serancak dahulu, berfikir sepolos dahulu, dan berkata semahu dahulu – tidak takut dianggap naif, tidak takut tersalah tulis. Benarlah kata Haji Rhoma Irama – darah muda darahnya para remaja, yang selalu merasa gagah, tak pernah mau mengalah. Masa muda masa yang berapi-api, yang maunya menang sendiri, walau salah tak peduli.

 

Adam Adli, bekas pelajar UPSI yang pernah aktif bersama gerakan mahasiswa hampir sedekad yang lalu. Beliau kini bergerak bersama Liga Rakyat Demokratik sebagai Pengerusi bagi sidang 2020-2022.