Masa muda sibuk kerja, Afdlin anggap jadi bapa lagi di usia 54 sebagai peluang kedua

Oleh MAISARAH AISYA

Masa muda sibuk bekerja maka waktu bersama anak-anak berkurangan, tahu-tahu sahaja semua dah besar dan ada kehidupan sendiri.

Berkahwin semula selepas bercerai, pelakon Datuk Afdlin Shauki berkongsi bahawa dia dan isteri barunya Datin Marcella dikurniakan seorang anak perempuan.

Pengarah itu memilih nama Inayah buat anak perempuan yang kini berusia 10 bulan lapor Kosmo! Online.

“Dapat anak kecil pada usia sekarang dan kembali menjadi bapa rasa seronok.

“Mungkin kerana dulu sebagai bapa yang muda kita sibuk pulun kerja untuk memastikan anak mendapat kehidupan yang baik. Akhirnya tidak jumpa dan tahu-tahu anak sudah besar.

“Sekarang saya lebih stabil dan ada banyak masa untuk bersama anak sebab saya tahu banyak buat silap masa dulu,” kata Afdlin seperti dipetik Kosmo.

Pada masa sama, Afdin tetap menjaga privasi untuk tidak menunjukkan wajah anak sama seperti cahaya matanya dengan perkahwinan terdahulu.

“Sebenarnya daripada zaman saya bersama dengan isteri pertama (bekas isteri) pun kita jarang dedahkan keluarga kerana tahu mereka inginkan privasi.

“Biarlah orang hanya kenal saya, kalau hendak kecam atau kutuk biarlah saja sahaja yang kena bukan keluarga.

“Saya akan dedah dia (Inayah) pada umum apabila umur melebihi dua tahun.

“Ada orang daripada ‘baby’ sudah tunjuk anak sebab mahu dapat tajaan tetapi itu bukan kehidupan keluarga saya. Kami mementingkan privasi,” kongsinya.

Dalam pada itu, Afdlin mengakui bimbang akan keselamatan keluarga ditambah dengan pelbagai kejadian yang tidak diingini semakin kerap berlaku di negara ini.

Tambah Afdlin, sebagai bapa beliau terpaksa bersikap terlalu melindung kerana bimbang dengan pelbagai kejadian yang tidak diingini.

“Dunia kita sudah makin pelik dengan pelbagai benda berlaku, saya mahu pastikan keluarga saya berada dalam keadaan selamat dan mendapat privasi yang mereka mahukan,” tambahnya.

Baca juga: Adik dakwa Nur Nilam diserang ‘perempuan gila’, Azlan Komeng halang buat laporan?