Masa operasi LRT, MRT, monorel  dan bas dilanjutkan bermula esok

Masa operasi LRT, MRT, monorel dan bas dilanjutkan bermula esok

Rapid KL bakal melanjutkan tempoh perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Monorel KL, Mass Rapid Transit (MRT) dan bas bersempena acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan sambutan Ambang Merdeka esok.

Rapid KL dalam kenyataannya hari ini berkata perkhidmatan LRT akan dilanjutkan sehingga 2 pagi yang melibatkan Stesen Bukit Jalil dan Stesen Masjid Jamek manakala Stesen Bandaraya dan Stesen KLCC akan dibuka sehingga 1 pagi.

Bagi perkhidmatan MRT, tempoh operasi di stesen seperti Mutiara Damansara, Bukit Bintang dan Bandar Utama akan dilanjutkan sehingga 1 pagi manakala bagi Laluan Monorel di stesen Hang Tuah turut dibuka sehingga 1 pagi.

Bas Rapid KL juga menyediakan perkhidmatan khas daripada lokasi-lokasi strategik untuk membawa para penumpang ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan untuk perjalanan pulang selepas upacara penutup tamat, kata kenyataan itu.

{loadposition myposition} Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan berkenaan boleh keluar di mana-mana stesen LRT, MRT, Monorel KL dan bas rapid transit (BRT) Laluan Sunway walaupun stesen-stesen tersebut sudah ditutup.

Perkhidmatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil diadakan antara 5 petang hingga 8 malam dan perkhidmatan dari kompleks sukan berkenaan adalah antara 10.30 malam hingga 2 pagi, dengan kekerapan bas antara 10 hingga 15 minit, yang bergantung kepada lalu lintas.

Untuk keselesaan, para penumpang disarankan menggunakan kad MyRapid Touch ‘n Go (TnG) atau mana-mana kad TnG dan sekiranya menggunakan token, mereka dinasihatkan membeli token untuk pulang sebelum keluar dari stesen sama ada Bukit Jalil, KLCC atau Dataran Merdeka, kata kenyataan itu.

Bagi bas perkhidmatan yang bergerak secara ekspres ke Bukit Jalil, lokasi untuk menaiki bas itu melibatkan Jalan Reko, Ampang Point, Hab Bas Greenwood (Gombak), Hab Bandar Shah Alam, perhentian bas KLCC, Platform C Pasar Seni dan perhentian bas di hadapan Nu Sentral.

CATEGORIES
TAGS