Masa sesuai saya letak jawatan, tunggu hukuman MT dan Lembaga Disiplin,kata Shahruddin

Masa sesuai saya letak jawatan, tunggu hukuman MT dan Lembaga Disiplin,kata Shahruddin

Sah! Naib Ketua Umno Bahagian Pagoh Datuk Dr Shahruddin Md Salleh telah meletakkan jawatannya berkuat kuasa serta merta hari ini.

 Perkara ini dimaklumkan Dr Shahruddin sendiri kepada Malaysia Dateline apabila surat peletakan jawatannya telah di viralkan di media sosial dan whatsApp sejak awal pagi tadi. Surat bertarikh 4 Julai itu telah dihantar kepada Pemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.

Menurut Dr Shahruddin, peletakan jawatannya ini ekoran Umno Bahagian Pagoh sebulat suara telah menolak keputusan Majlis Tertinggi Umno kerana memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Jun lalu.

Justeru kata beliau, inilah masa yang sesuai beliau meletakan jawatan sementara menunggu tindakan oleh Lembaga Disiplin parti atau Majlis Tertinggi (MT) mengambil tindakan terhadap keputusannya itu.

“Adalah amat sesuai untuk saya letak jawatan sebagai naib ketua bahagian Pagoh sementara menunggu hukuman lembaga disiplin atau MT.

“Sama ada saya diberikan amaran atau dipecat sebagai ahli Umno kerana ingkar dan menolak keputusan Majlis Tertinggi kerana telah memecat ketua Umno Bahagian Pagoh (Muhyiddin)

“Ini kerana saya dalam Umno telah berhempas pulas habiskan masa dan waktu mencari orang untuk jadi ahli Umno tetapi MT mudah-mudah saja pecat ahli.

“Lebih baik masa tu saya berikan kepada membaca al-Quran dan mempelajari hal-hal agama dan bahasa arab Al-Quran,” ujarnya ketika dihubungi.

Justeru beliau berkata bila telah letak jawatan banyak perkara boleh dilakukannya, bahkan akan meneruskan tugasnya sebagai Adun Jorak sehingga tempoh Pilihan Raya Umum akan datang berakhir.

Menurutnya lagi MT telah memperlakukan pemimpin nombor dua negara seperti ‘sampah’ dengan mengambil keputusan memecat bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Beliau diperlakukan seperti sampah dan petualang sebagai orang nombor dua negara.

“Terpulanglah pada MT nak menghukum Umno Pagoh.

“Ramai Ketua Cawngan berkata pada saya, bila nak bertanding minta undi. Mereka nyatakan akan memperjuangkan suara hati ahli-ahli Umno tetapi bila dah dapat undi dan jadi ahli MT mereka pula menekan ahli dan tujuk kuku, pecat ahli.

“Sepatutnya adalah ahli MT yang berjumpa dengan ketua-ketua cawangan di Pagoh ni terangkan keadaan dan kita boleh berdebat jika ada perkara sesama sendiri tidak puas hati terhadap isu berbangkit,” ujarnya ketika ditanya sama ada akan lebih ramai lagi ketua-ketua cawangan di bahagian Pagoh yang akan meletakan jawatan.

Shahruddin menegaskan lagi, semua ahli Umno di peringkat cawangan dan bahagian masih lagi sayangkan Umno tetapi mereka mahu pemimpin baru diperingkat atasan parti.

Beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Muhyiddin di beberapa kementerian yang diterajui Muhyiddin sebelum ini.

Bagi Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Johor (GKCM) Solihin Badri ketika dihubungi Malaysia Dateline pula berkata, sewajarnya Adun Jorak, itu meletakan jawatan ekoran beliau secara peribadi rapat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya sudah menjangka keputusan itu akhirnya akan dibuat kerana beliau antara penyokong kuat Tan Sri Muhyiddin sejak sekian lama di Pagoh,” ujarnya.

Mengulas alasan yang diberi Shahruddin kononnya di sebabkan mahu memberi tumpuan untuk membaca, menulis dan mempelajari bahasa arab dan menghafal ayat-ayat Al Quraan, ia dianggap alasan yang digunakan untuk menjelaskan sebab utama beliau meletakan jawatan.

“Itu semua alasan. Apa yang jelas beliau adalah antara ahli Umno di peringkat bahagian yang tidak bersetuju dengan keputusan MT Umno memecat Tan Sri Muhyiddin,” ujar Solihin sambil ketawa kecil apabila ditanya alasan yang diberikan oleh Sharuddin seperti yang tersebar di media sosial.

Sebelum itu pada 28 Jun lalu lima Ketua Cawangan di Bahagian Pagoh turut meletakkan jawatan antaranya ketua cawangan Grisek, Datuk Tahir Mohd Taat; Ketua Cawangan Batu Enam, Datuk Abd Aziz Hashim; Ketua Cawangan Parit Medan, Mohd Solihan Badri;Ketua Cawangan Kurnia Sakti, Hedzer Ahmad dan Ketua Cawangan Kundang Ulu, Ahmad Kamit.

ends.

COMMENTS

Wordpress (0)