Masa tepat Umno Pas bergabung, kata  Tajuddin

Masa tepat Umno Pas bergabung, kata Tajuddin

Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yakin jika Umno dan Pas bergabung pemikiran dan tenaga untuk mewujudkan satu blok baharu yang kuat, berperanan menjaga kepentingan Melayu,bakal memberi cabaran hebat kepada Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, meskipun kedua-dua parti itu mempunyai kaedah politik berbeza, namun mereka masih punya persamaan dalam memperjuangkan hak Melayu dan Islam.

Akhbar Sinar Harian, memetik Tajudddin sebagai berkata gabungan itu diyakini boleh memberi cabaran besar kepada kerajaan Pakatan Harapan dan penyokongnya yang sejak akhir-akhir ini mula berani menyuarakan desakan yang menghina kaum dan agama.

“Isu dan tuntutan yang dibuat dalam tempoh satu dua minggu ini agak mengancam survival umat Islam, ini bahaya kepada kita.

“Saya fikir orang PAS pun dah sedar sekarang ni, akar umbi juga sedia untuk kerjasama, ada ruang-ruang yang boleh dilakukan tanpa perlu tunggu jangka waktu yang lama.

“Jika terus nak tunjuk kehebatan masing-masing, kita tak akan berupaya hadapi tentangan lawan,” katanya.

Tajuddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Salak, malam semalam.

Menurut beliau, berdasarkan kerusi yang dimenangi oleh Umno dan Pas pada pilihan raya umum ke-14, kedua-dua parti itu boleh menjadi gabungan kuat.

Sementara itu, ahli politik veteran juga mengumumkan bahawa beliau akan bertanding di salah satu jawatan tertinggi Umno dalam pemilihan parti akan datang.

Tajuddin, yang telah menjadi ahli Umno selama lebih empat dekad, berharap pengalamannya akan menyumbang kepada pemulihan parti itu.

Bekas timbalan menteri itu berkata beliau akan mendedahkan jawatan mana yang akan ditandinginya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur pada 3 Jun nanti.

COMMENTS

Wordpress (0)