Malaysia Dateline

Masa tepat untuk Anwar satukan parti, kata Zuraida

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berpendapat, sekarang adalah masa tepat untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatukan parti mereka, ekoran pergeseran yang berlaku dalam parti itu.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, semua pimpinan kini sedang menunggu arahan dan juga tindakan selanjutnya daripada Presiden PKR yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Kita telah membuat kenyataan dan beliau (Anwar) mengakui teguran tersebut. Saya harap sesuatu yang baik akan berlaku selepas ini.

“Saya menyertai pemilihan parti untuk mengambil kedudukan (jawatan) bagi mengukuhkan parti, tetapi parti tidak bergerak ke arah itu.

“Ini adalah sesuatu yang mengecewakan saya. Saya fikir sudah tiba masanya PKR mengukuhkan parti dan ini terpulang kepada Presiden (Anwar) untuk melakukannya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan sama, ditanya sama ada beliau dan pimpinan lain bersedia memulihkan pergeseran dengan Anwar, Zuraida berkata pihaknya bersedia untuk ke arah itu demi kebaikan parti.

“Ia bergantung kepada topik perbincangan dan saya tidak memberi syarat sekarang,” jelas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu lagi.