Masa untuk pemimpin negara bertegas

Masa untuk pemimpin negara bertegas

Setelah lebih 15 bulan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan dan memimpin negara, kita dapat perhatikan kerajaan hari ini masih lagi bukan sebuah kerajaan yang stabil dan kuat. Bahkan telah menjadi buah mulut umum termasuklah dari kalangan penyokong Pakatan Harapan sendiri bahawa kerajaan hari ini mungkin ‘kerajaan sepenggal’. Memang ia adalah propaganda pembangkang. Namun pada masa yang sama, kelemahan kerajaan hari ini juga harus diakui, diperbetulkan dan terlebih penting, ia perlu dilaksanakan dengan segera.

Beberapa isu sebenarnya telah menjadi perbahasan dalam kerajaan hari ini. Sekiranya isu-isu ini tidak dibendung ataupun diperbetulkan sebaiknya, propaganda ‘kerajaan sepenggal’ tidak mustahil akan menjadi realiti. Setelah lebih 15 bulan saya percaya kerajaan tidak lagi perlu bersifat apogelitik, atau terlalu ‘menjaga hati’ dalam membuat tindakan. Semua ini dihasratkan akan memberi manfaat kepada keharmonian negara ini dan kestabilan kerajaan PH ini sendiri.

Antara isu utama yang boleh diambil tindakan segera adalah salah guna agama untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti politik yang semakin menular. Walaupun perkara ini bukan perkara baharu dan mempunyai akar yang terlalu kuat untuk diruntuhkan, namun perlu ada tindakan dari kerajaan samada melalui undang undang mahupun kuasa politik. Salah guna agama ini boleh dilihat apabila nama Islam dijaja untuk menghasut rakyat supaya menjatuhkan kerajaan hari ini. Agama ditonjolkan dengan retorik yang bersifat hitam putih dengan gelaran kafir, munafik, harbi, pembelot Islam dan lain-lain. Lebih malang apabila watak-watak yang menjaja agama ini turut terus dibenarkan muncul dikaca tv bercakap dan mendapat perhatian rakyat. Apatah lagi untuk mengharap tindakan diambil terhadap yang berbohong dan memanipulasi sentimen agama, masih tiada tindakan dari kerajaan walaupun ia sangat memberi kesan kepada sokongan orang melayu terhadap parti pemerintah.

Barah kedua yang perlu dikawal adalah penggunaan naratif perkauman, oleh pihak tertentu untuk meraih sokongan politik, tindakan mengapi apikan kebencian dan perbalahan antara kaum berlaku secara berleluasa dengan menimbulkan prejudis di antara satu sama lain. Tindakan ini kita lihat rancak dilakukan oleh parti pembangkang, UMNO menghasut Melayu, MCA menghasut cina, dan kesannya cukup ketara. Malah, terdapat pemimpin DAP yang memainkan sentimen perkauman sedangkan mereka adalah sebahagian dari parti pemerintah. Apa yang menjadi keuntungan sementara pihak berkenaan akan menjadi kesan buruk berpanjangan buat negara.

Undang-undang sedia ada boleh digunakan terhadap mana mana pihak yang menggunakan sentimen perkauman dalam ucapan politik mereka, tidak harus dibiarkan terus menerus ungkapan dan kenyataan bersifat perkauman dibuat tanpa ada sebarang tindakan.

Beberapa minggu lalu, isu lain yang menjadi hangat dan mendapat perhatian ramai adalah penghinan terhadap Angkatan Tentera Malaysia oleh seorang taikun cina, walaupun permintaan maaf telah dikeluarkan namun tanpa tindakan tegas terhadap pelaku, kesan kemarahan rakyat terutama orang melayu terhadap kerajaan telah timbul kerana dilihat lemah dalam berdepan dengan penghina institusi dan agensi penting dalam negara.

Kerajaan harus sekurangnya dilihat bertindak membawa pelaku ke muka pengadilan dan dihukum agar rakyat tahu tiada toleransi terhadap mereka yang tidak menghormati institusi ketenteraan negarra.

Isu pendidikan juga dilihat semakin berbaur perkauman, pengasingan antara pendidikan kebangsaan dan pendidikan aliran mengikut kaum telah dilihat semakin ketara dan semakin memecahbelahkan masyarakat. Sekiranya tiada tindakan yang lebih tegas dalam membenteras pihak tertentu yang cuba menganggu polisi dan cita cita kerajaan ke arah integrasi nasional dan perpaduan kaum yang seharus bermula di peringkat persekolahan, maka kesannya akan dilihat tidak jauh dari sekarang, mungkin selewatnya pada PRU15 kelak.

Kemunculan Dr.Zakir Naik juga tidak menjadi kelebihan buat kerajaan hari ini apabila beliau digunakan di pentas politik, ucapan beliau yang menyentuh isu politik dan hal kaum dalam negara telah menimbulkan “perseteruan” dalam masyarakat majmuk negara. Isu yang turut ditambah dengan sentimen agama telah menimbulkan rasa marah masyarakat. Perdana Menteri konsisten untuk mempertahan Zakir Naik demi menjaga nyawa beliau jika dihantar pulang ke India, Namun kerajaan perlu tegas memberi syarat ketat buat Zakir Naik agar tidak bercakap isu isu yang melibatkan politik dalam negara, kerana akhirnya ia akan memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk mengambil kesempatan dan mempergunakan ucapan Zakir Naik untuk terus mengapi apikan sentimen kaum yang akhirnya akan memberi manfaat kepada politik mereka.

Perdana Menteri juga perlu bertegas terhadap pemimpin negara yg tidak sehaluan dengan aspirasi negara, terutama dalam hal polisi yang telah diputuskan oleh kabinet, isu tulisan jawi terutamanya, apabila mendapat bantahan dari beberapa pemimpin DAP, telah memberi imej yang cukup buruk kepada masyarakat, samada dari sudut kelemahan pemimpin dalam mempertahankan polisi sendiri juga memperlihatkan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang rapuh dan dikawal oleh DAP.

Keselamatan negara, keharmonian antara kaum dan kestabilan politik adalah tiga tonggak utama yang tidak boleh dikompromi oleh pemimpin negara. Semua pihak perlu waspada bahawa negara ini tidak mampu untuk selamanya bertahan jika saban hari ia berhadapan dengan isu-isu yang disebutkan di atas dan dalam masa yang sama tiada ketegasan dipamerkan oleh pihak pemerintah.

*Penulis adalah Timbalan Naib Canselor (HEPA)  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)