Malaysia Dateline

Masa untuk Umno pergi, Parlimen ditutup dan dikepung bukan kerana Covid-19

Mengakui terperanjat menyaksikan pihak polis menyekat kesemua jalan menuju ke bangunan Parlimen semalam, veteran Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggesa parti itu meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan Umno mesti berbuat demikian memandangkan PN yang diterajui Mahiaddin Md Yasin melakukan kesilapan demi kesilapan.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah supaya kedua-dua majlis Parlimen memenuhi peranan masing-masing mengikut Perlembagaan.

Shahrir juga mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan PN menghalang Ahli Parlimen pembangkang itu merupakan arahan Kabinet.

“Parlimen ditutup dan dikepung bukan kerana Covid-19 tetapi atas arahan KKM (Kementerian Kesihatan) dan PDRM.

“Semuanya atas arahan Jemaah Menteri? Jemaah Menteri yang sama yang meremehkan peranan berperlembagaan YdPA.

“Tapi setelah mengepung Bangunan Parlimen, boleh pula dibenarkan ahli-ahli PAC Parlimen masuk ke kawasan bangunan Parlimen.

“Dari satu kesilapan kepada satu lagi kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan PN ini. Yang pertama belum selesai, ditambahkan masalah perbuatan sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau yang juga abang kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad berkata, sudah tiba masanya untuk Umno meninggalkan PN.

“Cukuplah untuk Umno bersama PN.

“Jawatan-jawatan DPM dan menteri-menteri tidak dapat menghalang kerajaan PN untuk merosakkan sistem kenegaraan kita.

“Keluar saja,” ulangi Shahrir lagi menerusi catatannya di Facebook hari ini.

Semalam, lebih 500 anggota polis dikerah untuk bertugas selepas beberapa jalan di ibu negara ditutup selain membuat sekatan dan lencongan jalan susulan himpunan Ahli Parlimen pembangkang.

Seramai 107 Ahli Parlimen Pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka sebagai bantahan terhadap penangguhan sidang Parlimen serta larangan memasuki bangunan itu.

Antara yang hadir Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohammad Sabu; Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Susulan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan memanggil kesemua Ahli Parlimen terbabit dalam masa terdekat.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mencadangkan semua sesi mesyuarat di Parlimen, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen, ditangguhkan selama dua minggu bermula 29 Julai lalu bagi mencegah perebakan jangkitan Covid-19.

Menurutnya, hasil penilaian risiko yang dilakukan selepas mengambil kira faktor epidemiologi serta persekitaran, mendapati sidang Parlimen adalah perhimpunan berisiko tinggi untuk penularan wabak itu.

Mengulas alasan risiko perebakan Covid-19 itu, Shahrir berkata, hanya terdapat empat kes jangkitan pandemik tersebut mengikut semakan di aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh 14 hari dalam jarak 1 kilometer dari bangunan Parlimen.

“Sudahlah Parlimen ditangguh mesyuaratnya untuk hari semalam. Patutnya, mesyuarat khas bagi hari kelima supaya boleh dilaksanakan tugas Dewan Rakyat untuk mengungkaikan Proklamasi Darurat dan membatalkan ordinan-ordinan darurat,” katanya lagi.