Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan bahawa beliau akan mengeluarkan kenyataan politik di luar waktu kerjanya di kementerian itu.
Timbalan Presiden PKR itu berkata, kenyataan mengenai dasar kementerian, kedudukan ekonomi dan yang berkaitan akan dibuat melalui saluran rasmi sebagai menteri.
“Saya faham perang media sosial masih panas, mainan politik Perikatan Nasional (PN)/Pas terus berlaku. Tetapi tanggungjawab utama kerajaan adalah membaiki kehidupan rakyat.
“Masa waktu yang dibayar gaji oleh rakyat, saya akan tumpu kerja sebagai menteri,” tulisnya di Facebook hari ini.
Menurutnya, keutamaan beliau pada masa ini adalah melaraskan dasar dan pelaksanaan projek supaya memberi impak paling besar kepada rakyat dalam persediaan menghadapi cabaran ekonomi 2023.
“Di luar waktu kerja, saya akan berdepan dengan PN/Pas. Saya akan menjawab isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis serta pimpinan Kerajaan Perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang.
“Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka,” kata Rafizi lagi.
Rafizi, 45, memenangi semula kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas menyandang kawasan itu antara tahun 2013 dan 2018.
Beliau menggantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berkhidmat dengan Kementerian Ekonomi sejak Ogos 2021 di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Baca juga Amaran hujan lebat di 5 negeri, KL dan Putrajaya
Baca juga Nak sangat bola mata warna lain sampai sanggup buat tatu, wanita kini alami cacat penglihatan