Satu pendedahan eksklusif dibuat sebuah akhbar tempatan berhubung agihan peruntukan kerajaan persekutuan kepada pihak pembangkang telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, akhbar terbabit bertindak membongkarkan dua syarat utama yang didakwa berada di dalam terma draf memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan tahunan pembangunan kawasan untuk ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Sumber yang enggan dikenali itu berkata kepada Sinar Harian bahawa antara syarat diunjurkan adalah jaminan daripada pihak pembangkang untuk tidak memainkan isu 3R (agama, kaum, raja) atau menabur fitnah melampau terhadap kerajaan dalam tempoh baki penggal pentadbiran.
Pihak pembangkang juga perlu memastikan tiada lagi sebarang usaha menjatuhkan Kerajaan Madani menerusi ‘pintu belakang’ melainkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang untuk memenuhi syarat kedua penting dalam MoU tersebut.
Susulan pendedahan tersebut, topik mengenai syarat penerimaan dana melibatkan wakil rakyat pembangkang ini mula ‘kecoh’ diperkatakan di media sosial termasuklah di laman X selepas tangkap layar laporan Sinar Harian dimuat naik di platform berkenaan.
Perkongsian ini dimuat naik bersama kapsyen, “Patutlah pembangkang tidak setuju, sanggup memekak siang malam kata kerajaan tak adil. Walhal tak perlu diberikan peruntukan sebab dana ahli Parlimen sudah ada. Rupanya dua syarat itu cukup berat bagi mereka”.
Mencuri perhatian ramai, rata-rata pelayar X turut bersetuju dengan dakwaan yang dibangkitkan oleh pemilik akaun Adam Yusuf itu bahawa ahli Parlimen pembangkang mungkin berdepan detik sukar untuk memenuhi syarat dikemukan kerajaan tersebut.
Hal ini berikutan isu 3R merupakan ‘modal’ yang paling menguntungkan bagi pihak pembangkang untuk menuai kritikan rakyat kepada pentadbiran kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.
Ramai juga berkongsi pendapat bahawa pihak pembangkang berkemungkinan tidak bersetuju dengan syarat kerajaan walaupun untuk mendapatkan peruntukan kerana amalan menebuk atap telah menjadi ‘darah daging’ mereka.
“Ini sahaja modal dia (pembangkang) untuk mengapi-apikan rakyat. Kabinet bayangan mereka juga sudah tiada idea bagus. Senyap sunyi melainkan isu bodoh dan 3R. Tak sanggup tutup mulut tiga tahun (tunggu PRU16),” kata seorang pengguna.
“Tebuk atap itulah darah daging depa.” Kongsi pengguna lain yang turut berkongsi pendapat mengenai amalan pihak pembangkang itu di mana ia menggugat kestabilan politik seterusnya menjejaskan hal tadbir urus negara.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi makluman bahawa Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Oleh yang demikian, satu draf MoU bakal dirangka sebelum dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.
Baca juga: Berita baik untuk penjawat awam, PM umum struktur gaji baharu pada 1 Mei ini