Walaupun hampir 30 tahun mentadbir negeri Kelantan Pas masih mengikut rentak lama apabila memberi bermacam-macam alasan sebaik isu masalah air di negeri itu berbangkit.
Jika dahulu alasan yang selalu didengar daripada kerajaan Negeri Kelantan sebaik timbulnya isu air seperti Umnolah punca masalah bekalan air atau kerajaan pusat tidak bantu.
Namun sampai bila kerajaan Pas Kelantan yang lebih 30 tahun mentadbir mahu memberi bermacam-macam alasan.
Terkini, alasan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah pula mengatakan air di negeri itu terlalu banyak tetapi tidak ada tempat untuk menyimpan air.
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut terpanggil memberi respons terhadap kenyataan Mohd Amar yang menyifatkan dalam tempoh masa yang sangat panjang ini terlalu banyak alasan dan jawapan yang tidak memuaskan berkenaan isu air di Kelantan ini.
“Antara alasan yang selalu kita dengar, Umno punca masalah bekalan air di Kelantan, isu air Kelantan bukan sebab pemimpin PAS cuai tetapi kerajaan pusat tak bantu Kelantan selesai isu air.
“Paling terbaru, dikatakan air di Kelantan ini melebihi keperluan dan tak ada tempat nak simpan?” kata beliau.
Justeru beliau berkata Kerajaan Pas Kelantan bukan lagi sebuah kerajaan yang baru mentadbir negeri itu.
“Nak kata negeri Pembangkang, dah jadi sebahagian dari Kerajaan Pusat dah. Menteri Alam Sekitar dan Air pun adalah Menteri Pas.
“Jadi tak perlu banyak alasan sebegini sebab yang menanggung susah dan masalah air ini adalah rakyat Kelantan juga.
“Jangan abaikan mereka sampai berpuluh-puluh tahun begini. Bekalan air bersih adalah hak untuk semua rakyat Malaysia termasuklah rakyat di Kelantan,” katanya lagi.
Syed berkata, PAS sudah memerintah Kelantan sejak tahun 1990 dan hampir tiga dekad negeri Kelantan berhadapan dengan masalah bekalan air bersih.