Malaysia Dateline

Masalah air di Kelantan: Dulu salahkan Umno, kini salah siapa pula?

Masalah bekalan air yang berlarutan melanda di negeri Kelantan ini bagaikan tiada sebarang penyelesaian yang proaktif dari Kerajaan Pas Kelantan.

Jika pada tahun 2012 dahulu tular satu video dalam Youtube yang memaparkan ulasan oleh Datuk Mohd Amar mengenai masalah air di Kelantan, namun selepas hampir 10 tahun berlalu, nampaknya masalah yang sama semakin berlarutan, kata Mohd Zulhazmi Hassan.

ZULHAZMI HASSAN

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan itu juga bertanya kepada pihak Kerajaan Pas Kelantan, ketika tahun 2012 dahulu Mohd Amar dilihat menyalahkan Umno sebagai zalim kerana memotong peruntukan RM600 juta untuk projek Bekalan Air Kelantan Utara (BAKU) pada tahun 1990.

“Kini siapa pula yang akan dipersalahkan oleh Pas Kelantan, setelah hampir 30 tahun memerintah Kelantan namun sehingga kini masalah air terus berlaku dan akhirnya menyusahkan rakyat?” tanya beliau dalam satu majlis diskusi malam tadi.

Katanya, Kerajaan Pas Kelantan dulu mendakwa tidak mendapat bantuan dari Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini.

“Namun hari ini Pas sudah menjadi sebahagian dari Kerajaan Persekutuan berkat sokongan padu parti itu kepada PPBM, namun apa penyelesaian atau rancangan dari pihak mereka untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan ini?” tanya beliau lagi.

Bukan setakat menjadi sebahagian dari Kerajaan Persekutuan yang kini sudah setahun lebih memerintah, ia juga tidak ganggu gugat oleh DAP yang cukup ditakuti mereka.

Sebelum ini Pas sentiasa menyalahkan Umno dalam krisis air di Kelantan.

“Bahkan menteri yang jaga hal ehwal air juga dilantik dari Pas dan wakil rakyat dari Kelantan, namun baru-baru ini kita baca berita menyatakan bahawa beliau hanya mampu menangis setiap kali lihat sungai kotor.

“Ini bukan rancangan raih simpati Bersamamu dalam TV3,” kata Zulhazmi yang lebih dikenali sebagai Jeming itu.

Lebih malang lagi, katanya, menteri hal ehwal air itu juga adalah Ahli Parlimen Kubang Kerian, sebuah kawasan yang sentiasa berhadapan dengan masalah terputus bekalan air hampir setiap minggu.

“Dia pun dah lupa nak turun kawasan tanya khabar rakyat ke lepas menang jadi Ahli Parlimen setelah diimport jauh dari Pahang?” tanya Jeming dalam soalan bertalu-talu mengenai air di Kelantan.

Jeming seringkali mendedahkan masalah air ini dalam video klip beliau yang disiarkan melalui Youtube.

Menteri jaga air itu juga, katanya, adalah Timbalan Presiden Pas, sebuah parti yang sepanjang memerintah Kelantan selama ini sentiasa menyalahkan pelbagai pihak atas segala masalah yang berlaku di negeri ini, termasuk masalah bekalan air yang sebelum ini menjadi “dosa” Umno.

“Kini lepas setahun jadi menteri jaga air, bahkan jadi Ahli Parlimen dari kawasan yang sering dilanda masalah air, apa yang mereka buat untuk selesaikan masalah ini?

TUAN IBRAHIM TUAN MAN

“Sekurang-kurangnya kalau dah tak pandai sangat memerintah, bentang dahulu segala perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang, apa yang Pas Kelantan mahu buat dalam usaha nak selesaikan masalah ini.

“Tak cukup sekadar memanjangkan tempoh masa dengan janji untuk selesaikan masalah air di Kelantan ini hingga ke tahun 2023,” kata Jeming merujuk kepada apa yang disebut oleh menteri air itu pada 10 September tahun lepas di media.

Bagi beliau, kegagalan Pas Kelantan untuk terus mentadbir negeri ini setelah sekian lama memerintah lebih 30 tahun adalah sesuatu yang serius, sedangkan masalah air ini bukan perkara baharu di negeri ini.

“Jika dahulu mereka boleh salahkan pihak itu dan ini bagi menutupi kegagalan pemerintahan mereka, kali ini sudah tiada alasan lagi,” kata beliau lagi.

Rakyat Kelantan, katanya, sudah terlalu lama bersabar menghadapi masalah bekalan air ini.

“Mereka sudah muak mendengar alasan demi alasan yang sekadar mahu meraih simpati dan undi, sedangkan semakin hari Pas Kelantan sudah semakin jelas terbukti sudah gagal dan tepu idea untuk menjalankan urustadbir pemerintahan yang baik lagi bermanfaat untuk rakyat dan negeri ini,” kata beliau lagi.