Masalah banjir air pasang besar dibawa ke kabinet

Masalah banjir air pasang besar dibawa ke kabinet

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar akan membawa masalah banjir akibat air pasang besar ke mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata ini penting untuk melihat kaedah untuk menaambah baik benteng-benteng ini dan beliau harap kerajaan negeri akan beri kerjasama untuk kebajikan rakyat Selangor khususnya yang tinggal di pesisiran pantai.

Kerjasama daripada kerajaan negeri Selangor katanya, amat penting bagi mengatasi masalah banjir di negeri itu yang berpunca daripada fenomena air pasang besar.

“Kita mendapat maklum terdapat beberapa ban (benteng) yang pecah sehingga air laut melimpah ke kawasan sekitar seterusnya menyebabkan banjir.

“Kami harap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat kaji cara untuk tambah baik benteng-benteng yang dibina di pesisiran pantai negeri ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-39 Pertubuhan Peladang Negeri Selangor 2016 di Shah Alam malam tadi.

Sejak dua hari lalu penduduk di beberapa kawasan di Klang, Pantai Remis, Sg Buloh (Jeram), Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang dan Port Dikson di mana dihantui kerisauan apabila air laut dikatakan pasang besar sejak semalam dan hari ini.

Netizen di laman sosial Facebook hari ini mendakwa air pasang besar itu menyebabkan beberapa kawasan seperti di Pantai Remis dan Perlabuhan Klang digenangi air selepas air laut melimpah naik ke darat.

Sementara Jabatan Pengairan dan Saliran menyatakan air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari mulai semalam hingga Rabu ini pada paras lebih lima meter.

TAGS