Malaysia Dateline

Masalah bekalan air, Kerajaan PN gagal utamakan kebajikann rakyat

Kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa masalah air di Kelantan akan selesai dalam tempoh antara 30 hingga 40 tahun amat memeranjatkan dan memilukan.

Malah tempoh yang begitu lama diambil oleh kerajaan PN untuk menambah baik prasarana utama rakyat Kelantan menunjukkan PN gagal mengutamakan kebajikan rakyat Kelantan yang sudah berpuluh tahun berhadapan masalah bekalan air bersih.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Menurut beliau lagi, walaupun masalah ini semakin kronik kini sehinggakan warna air sudah berubah seperti teh tarik, namun kenyataan Menteri tersebut tidak pun menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap masalah ini.

“Sebagai Menteri terlibat, sepatutnya Tuan Ibrahim menggunakan kedudukan beliau sebagai Menteri Pusat yang menerajui kementerian terbabit untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dengan lebih tuntas.

” Kenyataan beliau bahawa peruntukan sebanyak RM7.3 bilion didalam RMK 12 akan dipohon menunjukkan tindakan pimpinan Pas yang lemah dalam menguruskan hal ehwal kebajikan rakyat Kelantan sedangkan Kedah telah diluluskan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk isu yang sama baru-baru ini.

“Keadaan ini amat berbeza dengan pentadbiran Pakatan Harapan walaupun berbeza parti pemerintah, tetapi tidak mengamalkan sikap diskriminasi terhadap rakyat Kelantan dengan membayar royalti minyak dan peruntukan RM400 juta awal tahun ini dan rakyat Kelantan pula sering tertanya-tanya, ke manakah wang tersebut dibelanjakan, ” soal Faiz.

Tambah beliau, kerajaan PN dan Pas Kelantan seharusnya belajar dengan kerajaan PH Pulau Pinang yang berjaya menyediakan bekalan air bersih antara yang terbaik dalam negara.

Katanya, tempoh penyelesaian masalah ini yang terlalu lama bagi pembinaan empangan, penggantian paip dan menaik taraf loji hanya bagi sebuah negeri antara 30 hingga 40 tahun bukan sahaja memperlihatkan kelemahan Pas tetapi juga menyebabkan derita rakyat Kelantan berlarutan.

“Amat berbeza jika dibandingkan tempoh pembinaan rel keretapi ECRL merentasi beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Trengganu, Pahang dan Selangor yang bernilai RM44 bilion, dimana ianya mampu disiapkan dalam tempoh singkat hanya 5 tahun.

” Rakyat Kelantan kini seharusnya, boleh membezakan apakah kerajaan PN dan Pas mampu mentadbir dengan baik di Kelantan, sedangkan masalah ini telah sekian lama berlarutan sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk seorang Professor terkemuka didalam negara yang juga merupakan anak jati negeri Kelantan.

“Persoalan sebenar yang perlu dijawab oleh pimpinan PN dan Pas di Kelantan ialah kenapakah masalah yang sebegini penting tidak diberikan prioriti dan diselesaikan dalam tempoh terdekat oleh kerajaan PN?,” tanya beliau lagi.

Faiz turut hairan dan mempersoalkan apakah Pas tidak mempunyai suara dalam kabinet PN sedangkan peranan mereka cukup besar dalam Langkah Sheraton.