Masalah jalanraya terputus selesai dengan projek RM46 juta di Setiawangsa

Masalah jalanraya terputus selesai dengan projek RM46 juta di Setiawangsa
Khalid melancarkan jalan baru di Setiawangsa bernilai RM46 juta yang melegakan ramai pengguna jalan raya.

Kesusahan yang dialami oleh penduduk Setiawangsa akibat jalan terputus kini boleh menarik nafas lega apabila pembinaan jalan sambungan antara Jalan 2/27A ke Jalan Mohd Yatim Yahaya telah dapat disempurnakan dan dibuka sepenuhnya untuk kemudahan warga kota.

Projek bernilai RM46 juta ini merupakan inisiatif DBKL dalam menyediakan keselesaan dan kelancaran perjalanan kepada pengguna jalanraya khasnya disempurnakan pelancarannya oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad pagi ini.

“Kita sedia maklum akan pembangunan pesat yang berada di kawasan sekitar ini dan pastinya akan berlaku peningkatan kapasiti trafik. Oleh itu, kita telah bersedia untuk menangani masalah tersebut dengan menyediakan rangkaian jalan yang lebar dan pembinaan laluan jalan penyambungan (Missing Link) bagi menampung peningkatan trafik yang akan datang,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancarannya hari ini.

Projek yang dibina di bawah Parlimen Setiawangsa ini meliputi skop seperti berikut iaitu:

• Membina jalan empat lorong (2-lorong setiap hala) sepanjang 500 meter bagi menghubungkan persimpangan Jalan 1/27A dengan Jalan Mohd Yatim Yahaya seterusnya ke Jalan Setiawangsa meliputi pembinaan jambatan, cerun, longkang, siarkaki, lampu isyarat dan lampu jalan;

• Membina jalan bawah tanah ‘underpass’ 4 lorong yang merangkumi 2 lorong setiap hala sepanjang 300 meter melibatkan jambatan dan ‘CBP Wall’ mengikut jajaran Jalan Setiawangsa dan Jalan Mohd Yatim Yahaya;

• Menaiktaraf persimpangan jalan di Jalan 34/26 – Jalan Setiawangsa untuk laluan terus ke Taman Sri Rampai.

Kata Khalid, projek yang sebegini besar dengan nilai kontrak sebanyak RM 46 juta ini sudah pasti berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang pelaksanaannya.

“Saya difahamkan dalam proses pembinaannya, pelbagai paip dan kabel-kabel syarikat utiliti yang perlu dialihkan bagi memberi laluan kepada jajaran projek ini. Kos bagi pengalihan utiliti-utiliti ini berjumlah hampir RM4.0 juta dari nilai keseluruhan kontrak.

“Maka dengan itu, terima kasih juga kepada syarikat-syarikat utiliti ini yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang projek ini berjalan,” kata beliau ketika memberikan ucapan di majlis ini.