Malaysia Dateline

Masalah kelaparan global dijangka berganda akibat Covid-19 – PBB

Program Makanan Dunia PBB (WFP) berkata, masalah kekurangan makanan yang dihadapi masyarakat dunia pada tahun ini dijangka berganda kepada 265 juta orang disebabkan kemelesetan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Impak daripada kehilangan sumber pendapatan melalui pelancongan disebabkan penutupan sempadan serta pelbagai syarat lain berkaitan penularan Covid-19, dijangka mengakibatkan kira-kira 130 juta berhadapan masalah kelaparan, tambahan kepada 135 juta yang telah berada dalam kategori ini.

“Covid-19 berpotensi menjadi malapetaka kepada berjuta orang yang sememangnya telah berada dalam keadaan terumbang ambing,” kata Arif Husain, ketua ahli ekonomi dan pengarah serta penyelidik bagi program WFP, menurut laporan Reuters semalam.

Kata beliau, semua pihak perlu bekerjasama menangani masalah ini kerana jika tidak, harganya terlalu tinggi untuk dibayar – ramai yang akan kehilangan nyawa.

Bercakap kepada media di Geneva, Husain menambah, tindakan segera perlu diambil bagi melindungi mereka yang ‘kais pagi makan pagi’ sepert penjual makanan di Kenya umpamanya, daripada terpaksa menjual eset yang dimiliki untuk meneruskan hidup.

Dalam kes-kes yan lain, terdapat petani yang terpaksa menghentikan kegiatan pertanian mereka dan ia memberi kesan kepada penghasilan makanan untuk tahun-tahun akan datang, katanya.

“Mereka inilah yang kita risaukan sekarang – mereka yang OK sebelum Covid-19 tetapi kini tidak lagi,” tambah beliau.

Paling membimbangkan katanya lagi ialah mereka yang tinggal di negara-negara yang tidak mempunyai atau hanya sedikit jaringan keselamatan kerajaan.

WFP menjangkakan $10-$12 bilion diperlukan untuk membantu program berkaitan makanan ini pada tahun ini, berbanding $8.3 bilion diperlukan pada tahun lalu.