Malaysia Dateline

Masalah kewangan dorong pengundi luar bandar sokong kerajaan, kata Adly

Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari tidak menafikan kebanyakan pengundi luar bandar yang susah dan menghadapi masalah kewangan, akan cenderung untuk menyokong kerajaan.

Beliau berkata, faktor bantuan tunai yang disalurkan kerajaan banyak memberi kesan kepada pengundi.

Ini juga selari dengan dapatan kajian penganalisis politik, Dr Mazlan Ali bahawa hampir 50 peratus pengundi luar bandar di Melaka, menyatakan mereka memerlukan wang tunai, kata Adly.

“Selalu kita lihat masyarakat tinggal di luar bandar, mereka akan berpihak pada kerajaan memerintah. Kadang faktor bantuan tunai dari kerajaan itu banyak memberi kesan.

“Memang begitu. Masyarakat susah akan terkesan dengan politik wang,” katanya ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan hari ini.

“Satu analisis dari Dr Mazlan Ali mendapati hampir 50 peratus mereka perlukan tunai. Barulah dengan kemudahan internet, pendidikan. Dalam kajian ini menunjukkan bahawa masyarakat memang terkesan dengan isu kehidupan mereka,” tambahnya lagi.

Justeru kata ADUN Bukit Katil itu, inilah cabaran terbesar yang perlu dilihat oleh Pakatan Harapan dan AMANAH untuk berhadapan dengan Umno yang banyak menggunakan wang untuk menarik pengundi.

Tegasnya, isu berkaitan kemiskinan, pendidikan dan masalah sosial adalah keperluan yang mesti diperjuangkan.

“Kita tahu ada parti politik guna isu perkauman. Tapi isu melibatkan keadilan sosial kita perlu perjuangkan. Kerana isu kemiskinan dan pendidikan, boleh diperjuangkan tanpa mengira kaum, bangsa, agama. Isu melibatkan keadilan sosial perlu dipertingkatkan lagi terutama masyarakat luar bandar yang memerlukan perhatian kita,” katanya lagi.