Masalah pencemaran Sg Sayong bila akan selesai, soal penduduk

Masalah pencemaran Sg Sayong bila akan selesai, soal penduduk

‘Sampai bila perkara ini nak selesai?’ begitulah keluhan penduduk kampung Sungai Sayong Pinang yang terpaksa berhadapan dengan keadaan pencemaran Sungai Sayong di kampung mereka.

Menurut wakil penduduknya, Azman Inam (gambar atas), 41, berkata mata pencarian penduduk kampung ini hanya tertumpu kepada sungai tersebut dan setiap kali pencemaran yang berlaku pasti mengundang masalah kepada penduduk.

Merujuk kepada pencemaran yang berlaku baru-baru ini, beliau menyatakan ia terjadi berulang kali dan setiap kali pencemaran berlaku pastinya mata pencarian mereka akan terjejas.

Wahab Mansor (tengah) ketika pulang dari menjala.

“Di sini terdapat lebih 500 orang penduduk dan semuanya adalah Orang Asli. Sungai di kawasan Tenggara jadi pencarian kita memang tertumpu pada dapatan hidupan air tawar sahaja.

“Perkara sebegini berlaku setiap tahun dan pastinya bila perkara sebegini berlaku kami penduduk kampung gelisah kerana pendapatan kami terjejas dan memerlukan masa selama dua hingga tiga bulan untuk pulih semula.

“Selalunya bila denda (kompaun) yang dikenakan kepada kilang hanya dapat pada kerajaan tapi apa yang nelayan seperti kami dapat. Kerajaan perlu memohon ganti rugi kepada pihak kilang yang membuat masalah,” ujarnya ketika ditemui.

Selain itu menurut Azman lagi, kilang-kilang yang berdekatan dengan sungai tersebut sebelum ini dilihat seperti bermaharajalela dengan melepaskan sisa kilang ke dalam sungai.

Sementara itu, seorang lagi nelayan yang ditemui Wahab Mansor, 54, berkata selain Sungai Sayong, Sungai Johor juga antara yang terbabit sekiranya pencemaran berlaku di kawasan Sungai Sayong.

Beliau yang merupakan penduduk di Kampung Baru Sungai Johor berkata, sekitar tahun 2018 sahaja sudah terdapat tiga kali pencemaran sungai yang berlaku di Sungai Johor ini.

“Susahlah kalau macam ni nelayan akan pupus hasil pendapatan dan sekiranya kerajaan tidak ambil peduli maka terbiarlah nasib kami walaupun kami rakyat di negeri ini.

“Kami penduduk kampung terpaksa catu makanan sekiranya berlaku keadaan seperti ini dan sekiranya pencemaran berlaku, selalunya kami hanya mendapat hasil tangkapan yang terlalu rendah cukup hanya untuk membeli beras harian dan telur ayam sahaja,” luah Wahab.

Untuk maklumat, pencemaran sungai yang berlaku di kawasan Sungai Sayong baru-baru ini telah menjejaskan pendapatan lebih dari 5000 penduduk di sekitar kampung nelayan di sekitarnya.