Malaysia Dateline

Masalah perundangan dalam sekatan pergerakan akibat Covid-19

Tan Sri Muhyiddin Yasin baharu sahaja mengumumkan bahawa rakyat Malaysia akan disekat pergerakan mereka.

Menurut pengumuman yang dibuat itu, semua premis kerajaan akan ditutup kecuali premis yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara seperti air, elektrik, tenaga, telekomunikasi dan lain-lain.

Selain itu, rakyat telah dilarang untuk bergerak dan berhimpun untuk semua aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Semua premis perniagaan akan ditutup kecuali yang melibatkan perkhidmatan peruncitan barang-barang harian.

Rakyat juga telah dilarang untuk mengembara ke luar negara dan kemasukan pelancong luar negara juga akan disekat. Semua institusi pendidikan akan ditutup termasuklah taska dan pusat jagaan kanak-kanak.

Perintah larangan yang bermula daripada 18 hingga 31 Mac 2020 telah dibuat di bawah kuasa kerajaan yang diperuntukkan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344).

Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Tertakluk kepada Fasal (3) dan kepada mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam, kesihatan awam, atau penghukuman pesalah, tiap-tiap warganegara berhak bergerak dengan bebas di seluruh Persekutuan dan bermastautin di mana-mana bahagiannya.”

Meskipun hak bergerak dalam Persekutuan adalah hak asasi semua warganegara tetapi hak tersebut boleh disekat oleh kerajaan jika ianya adalah berhubung dengan kesihatan awam. Dalam kes ini, Covid-19 adalah satu masalah dalam kesihatan awam yang perlu dibuat tindakan drastik oleh kerajaan.

Secara umumnya, langkah kerajaan untuk menyekat pergerakan rakyat itu adalah langkah yang perlu dibuat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini. Wabak Covid-19 ini adalah satu wabak yang sangat merbahaya kerana ianya boleh mendatangkan maut.

Ianya juga sangat mudah berjangkit hanya dengan sentuhan yang berlaku antara pihak yang telah dijangkiti dengan pihak yang belum dijangkiti.

Akta 342 ini pula memberikan kuasa kepada menteri untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan jangkitan.

Menteri juga boleh membuat peraturan-peraturan untuk mencegah kemasukan apa-apa penyakit berjangkit daripada kawasan jangkitan.

Sekiranya suatu kawasan telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan, pegawai yang diberikan kuasa boleh menggunakan apa-apa kekerasan yang perlu untuk merawat, memberikan imunisasi, membuat tindakan pengasingan atau mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi mengawal jangkitan itu daripada merebak.

Akta 342 juga memberikan kuasa kepada pegawai yang diberikan kuasa untuk membuat pemeriksaan ke atas mana-mana kenderaan, binatang atau barang yang disyaki tercemar dan menahan mana-mana orang di stesen kuarantin.

Akta ini juga menghendaki mana-mana orang dewasa yang mempunyai orang yang berjangkit di dalam rumahnya untuk memaklumkan pejabat kesihatan atau balai polis berhampiran supaya tindakan segera dapat diambil untuk menghalang jangkitan itu.

Sebagai tambahan kepada kuasa-kuasa yang diberikan itu, pegawai yang diberikan kuasa juga boleh membuat tindakan sanitasi atau basmi kuman terhadap mana-mana premis yang mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit itu.

Namun, jika diteliti dengan lebih lanjut Akta 342 ini mempunyai kekurangan daripada segi punca kuasa.

Umpamanya, walaupun seksyen 6(2) Akta 342 ini memberikan kuasa kepada menteri melalui satu perintah dalam warta untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan di luar Malaysia sebagai kawasan jangkitan akan tetapi seksyen 6(3) menghendaki menteri untuk membuat peraturan-peraturan terlebih dahulu bagi mengawal kemasukan apa-apa penyakit berjangkit dari sesuatu kawasan jangkitan sebelum sesuatu tindakan dapat diambil.

Perkara yang sama juga dapat dilihat dalam seksyen 11(1) Akta 342 ini yang memberikan kuasa kepada Menteri untuk mengisytiharkan kawasan jangkitan dalam Malaysia secara perintah yang diwartakan tetapi seksyen 11(2) menghendaki menteri untuk terlebih dahulu membuat peraturan-peraturan untuk mencegah daripada merebaknya penyakit dalam kawasan tersebut.

Ini dilihat sebagai satu kekurangan dalam kuasa menteri yang terpaksa terlebih dahulu menggubal peraturan-peraturan sedangkan wabak Covid-19 ini sangat cepat merebak dan memerlukan tindakan segera.

Sepatutnya, akta ini perlu memberikan kuasa kepada menteri untuk hanya membuat perintah dalam warta tanpa perlu membuat peraturan kerana proses membuat sesuatu peraturan adalah memakan masa yang agak lama.

Kuasa menteri untuk membuat perintah dalam bentuk warta ini sebenarnya telah diberikan kepada menteri dalam seksyen 30, namun malang sekali seksyen ini hanya terhad setakat kepada kuasa menteri untuk mengubah jenis-jenis penyakit yang disenaraikan sebagai penyakit berjangkit.

Secara kontras, seksyen 31 dengan jelas menyatakan bahawa menteri perlu membuat peraturan-peraturan terlebih dahulu untuk mengawal selia pergerakan jalan darat dan laut, sempadan, kemasukan apa-apa kenderaan, import dan eksport barang-barang, prosedur kuarantin, standard kebersihan, kawal selia dan pembasmian kuman di premis dan lain-lain.

Justeru, diharapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dapat bertindak segera bagi mengatasi kelompangan undang-undang dan supaya tindakan kementerian kelak tidak dipersoalkan kesahannya.