Malaysia Dateline

Masalah sampah kini jadi berita utama di Terengganu

Masalah sampah di negeri Terengganu kini menjadi berita utama dan sangat dikesali oleh rakyat negeri itu sendiri.

“Kebersihan itu sebahagian daripada Iman. Terengganu ini negeri Darul Iman, diperintah parti Islam,” catat Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, pensyarah kanan UMT menerusi facebook beliau.

Menurut beliau, sampah bertimbun yang tidak dikutip sudah menjadi pandangan biasa di negeri itu sekarang.

“Ini adalah pemandangan biasa, tempat pembuangan sampah betul-betul di hadapan SK Gong Badak. (gambar atas)

“Kita menunjuk contoh terburuk kepada anak-anak di bangku persekolahan yang mindanya masih putih bersih.

“Kalau hari hujan lagi jijik, air busuk meleleh-leleh,” kata beliau lagi dalam posting itu.

“Sebelum ini, banyak dengar isu-isu sampah di negeri jiran, sekarang dah jadi biasa kat negeri sendiri,” tambah beliau lagi.

Negeri jiran itu dipercayai ditujukan kepada Kelantan, sebuah lagi negeri yang ditadbir oleh Pas, yang sebelum ini juga berhadapan dengan masalah sampah merata.

Sebelum ini, berita mengenai sampah berlonggok di Terengganu pernah didedahkan oleh TV3.

Ekoran itu, Exco Kerajaan Negeri berkata, ia berpunca dari masalah kekurangan lori sampah.

Beliau juga memaklumkan, kontraktor yang berterusan melanggar syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan terbabit.