Malaysia Dateline

Masalah siling, dinding bocor di unit strata pemilik rumah atas kena tanggung kos baiki

Tahukah anda masalah siling dan dinding bocor di unit strata, pemilik rumah atas kena bertanggungjawab dan tanggung kos sepenuhnya.

Menetap di rumah strata seperti condo atau apartment, pasti pernah mengalami atau dengar kisah orang lain yang mengalami masalah siling bocor atau dinding berair.

Namun siapa yang patut dipertanggungjawabkan, anda sendiri atau pemilik unit atas atau tepi? Jadi apakah hak anda di bawah undang-undang?

Ini perkongsian singkat dari seorang peguam hartanah Syaz.MJ

Masalah siling, dinding bocor di unit strata pemilik rumah atas kena tanggung kos
Unit atas akan dipertanggungjawabkan untuk membayar kos membaiki kebocoran

Hak anda di bawah Akta Pengurusan Strata (Akta 757)

Seksyen 142 Akta 757 menyebut – Unit atas akan dipertanggungjawabkan untuk membayar kos membaiki kebocoran melainkan ada bukti yang menunjukkan sebaliknya.

Ini maksudnya bukanlah unit atas secara automatik akan bersalah, tetapi kebarangkaliannya amat lah tinggi.

Hak anda di bawah peraturan Pengurusan Strata 2017 (PUA 107)

Peraturan 55 PUA 107 menyebut – Kebocoran boleh diertikan sebagai apa-apa kebasahan, kelembapan atau kesan penembusan air pada siling. Cukup sekadar kelihatan tompokan air dan tidak perlu ditunggu sehingga menjadi teruk sampai air menitik-nitik jatuh.

Apakah tindakan yang patut anda lakukan dalam situasi ini?

Pertamanya, pastikan kita lapor segera kepada pihak pengurusan. Seterusnya siasatan akan dijalankan untuk cari puncanya. Sekiranya pemilik tidak beri kerjasama untuk siasatan, pihak pengurusan boleh menguatkuasakan Peraturan 63 PUA 107 – yang membolehkan pemilik unit didenda tidak lebih RM50,000.00 atau penjara maksimum 3 tahun.

Info tambahan

Untuk isu dinding bocor, Peraturan 67 PUA 107 menyebut – undang-undang yang sama terpakai seperti isu siling bocor. Jadi tidak perlu risau.

Peraturan 61 PUA 107 menyebut – Jika unit atas/tepi tidak beri kerjasama baiki kerosakan, pihak pengurusan boleh ambil tindakan baiki sendiri kerosakan, dan tuntut semula kos kepada pemilik tersebut.

Kesimpulan

Biasa kita dengar isu kebocoran di unit strata. Siling bocor, unit atas perlu bertanggungjawab. Dinding bocor, unit tepi lah. Perkongsian kali ini adalah untuk memastikan anda tahu hak anda jika ditimpa musibah ini.