Malaysia Dateline

Masalah sosial di Johor membimbangkan

Statistik terbaharu menunjukkan kadar permasalahan sosial di negeri Johor berada pada tahap membimbangkan, bahkan bagi kaunselor Cikgu Adnan Omar ia boleh ditakrifkan sebagai kritikal.

Cikgu Adnan Omar berkata demikian pada program ‘Bicara Awan – Dunia Siber atau Gajet dan Kesan Kepada Kita’, yang dianjurkan oleh Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Tebrau baru-baru ini.

Kata Adnan, statistik kadar permasalahan sosial di negeri ini adalah tertinggi dalam negara membabitkan sebanyak 1,000 kes kehamilan dalam masa sebulan, 12 orang remaja terkena kes jangkitan kuman HIV setiap hari dan rogol bawah umur tertinggi di Malaysia.

Cikgu Adnan Omar berucap pada program ‘Bicara Awan – Dunia Siber atau Gajet dan Kesan Kepada Kita’, yang dianjurkan oleh Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Tebrau baru-baru ini.

“Statistik yang diperolehi pihak kami mengenai masalah sosial di negeri ini menunjukkan ia pada tahap yang membimbangkan dan perkara ini kami gariskan kepada tahap kritikal kerana negeri ini tidak sepatutnya melahirkan generasi yang bermasalah.

“Tanpa kita sedari, kurangnya pemantauan terhadap anak-anak telah membawa gejala sosial dalam kalangan remaja semakin meningkat dan ia telah menunjukkan suatu implikasi yang negatif mengikut kadar statistik yang diperolehi ini.

“Ini yang dinamakan sebagai ‘Dajal Alaf Baru’ kerana ia membabitkan penggunaan gajet sebagai permulaan pembabitan remaja dalam kes permasalahan sosial yang berlaku hari ini.

“Tontonan filem lucah yang tidak ditapis oleh pihak berwajib ini telah mengundang kepada langkah awal kerosakan mental oleh remaja dan ia sekali gus telah merosakkan minda remaja yang sedang berkembang ke arah negatif,” Cikgu Adnan Omar ketika menyampaikan ceramah beliau.

Suhaizan berucap pada majlis yang sama.

Dalam majlis yang sama, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Suhaizan Kaiat turut menyatakan rasa bimbang beliau terhadap statistik tersebut serta berikrar untuk menyelesaikan masalah berkenaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) memerintah negeri itu.

“Saya berasa cukup bimbang mengenai perkara ini dan ia merupakan suatu perkara serius yang perlu ditangani sekiranya PH memerintah negeri Johor ini. Saya akan mencadangkan untuk membincangkan perkara ini dan akan mempelawa pakar-pakar untuk bersama.

“Selain itu statistik yang diperolehi pihak kami ini akan di bawa kepada pucuk pimpinan tertinggi PH negeri bagi mencari suatu penyelesaian secara konkrit dan akan diterjemahkan hasilnya dalam tawaran PH Johor nanti.

“Sememangnya apa yang disuarakan oleh kaunselor Cikgu Adnan itu menjadi suatu indikator kepada pihak kami dalam menyelesaikan secara terperinci berkenaan permasalahan sosial ini,” Suhaizan Kaiat menyatakan pendapat selepas program yang dianjurkan oleh AWAN Tebrau itu.