Masalah terminal jual tiket terbiar perlu diselesaikan segera

Nor Azam menunjukkan kaunter tiket yang terbiar sejak tiga tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (PH) Kuala Perlis, Nor Azam Karap mendesak kerajaan negeri Perlis supaya segera memanfaatkan bangunan terminal jual tiket yang telah siap sepenuhnya sejak tiga tahun yang lalu, tapi tidak dapat dimanfaatkan oleh pelancong tempatan dan luar negara yang ingin berlepas ke Pulau Langkawi.

Tinjauan yang dibuat bersama beliau turut mendapati bangunan yang telah siap tersebut berhadapan dengan Jeti Kuala Perlis yang menjadi lokasi pergi dan balik pelancong ke Pulau Langkawi setiap hari.

Namun begitu bangunan tersebut terbiar sehinggakan wujudnya vandalisme yang merugikan.

“Seharusnya bangunan yang telah siap ini dimanfaatkan dengan segera.

“Ia menjadi tempat yang sesuai untuk ditempatkan semula semua kaunter tiket yang kini beroperasi di Jeti Kuala Perlis.

“Sehingga kini kita tidak tahu apa masalah sebenar sehinggakan ia telah siap sekian lama, tapi tidak dapat digunakan sehingga menyakitkan mata memandang,” ujarnya ketika ditemui.

Nor Azam Karap, Adun Kuala Perlis.

Malah jelasnya lagi, Kementerian Pelancongan maupun exco kerajaan negeri Perlis yang akan dilantik, harus segera mengambil peduli mengenai perkara ini.

“Sekiranya perkara ini dibiarkan berlarutan tanpa kepedulian mana-mana pihak ia membuktikan kita meneruskan kegagalan yang pernah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Oleh kerana itu setelah mendapat mandat rakyat baru-baru ini maka kerajaan negeri maupun kerajaan pusat harus mengenal pasti punca bangunan terminal tiket ini tidak dapat digunakan sehingga sekarang.

“Cari solusi dan manfaatkan ia dengan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada pelancong tempatan dan juga luar negeri,” tegasnya.

Selain daripada itu didapati terdapat pendawaian dan kabel elektrik yang turut telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Keadaan ini katanya, akan menyebabkan lebih banyak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

Bangunan yang siap tersergam, tapi tidak dapat digunakan sebagai daya tarikan pelancong hingga kini.

Sehubungan itu saran beliau, semua pihak wajib segera mengambil insiatif bagi menyelesaikan ketidakpedulian ini daripada terus berlarutan.