Malaysia Dateline

Masalah tumbesaran kanak-kanak terbantut membimbangkan

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan pertumbuhan ekonomi negara tidak selari dengan kesihatan rakyat seperti dapat dilihat pada masalah tumbesaran kanak-kanak terbantut yang menyaksikan pola membimbangkan.

Nurul Izzah Anwar

Mengulas laporan khas hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, pihak berwajib perlu menangani gejala tersebut.

“Berdasarkan laporan tersebut, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar kes tumbesaran terbantut dalam kalangan anak-anak antara 1 dan 2 tahun tertinggi di Malaysia (hampir 30 peratus).

“Situasi yang berlaku di Putrajaya melambangkan bahawa ekonomi ‘membangun’ kelihatan seakan tidak memberi impak pada kesihatan rakyat, sehingga warga bandar dan luar bandar turut terjejas,” dipetik dari artikelnya di Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, statistik sebanyak 20 peratus dalam kalangan anak-anak berusia 5 tahun ke bawah yang mengalami masalah tumbesaran mampu mengakibatkan masalah fizikal dan pertumbuhan minda jika tidak ditangani buat jangka panjang.

Beliau berkata, anak-anak Orang Asli paling kerap menjadi mangsa masalah malnutrisi kerana kekurangan akses pada makanan berkhasiat mengikut dapatan Borgen Project pada 2015.

“Mungkin persoalan ini boleh diajukan pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dengan gah mengumumkan peningkatan pendapatan kasar isi rumah daripada RM3,624 (2009) kepada RM6,267 tahun lalu.

“Matematiknya, hampir mustahil sebuah negara yang kononnya mengalami peningkatan ekonomi ini ditunjangi oleh permasalahan rakyat yang mempunyai masalah tumbesaran terbantut!” bidasnya.

Sehubungan itu, tegas Nurul Izzah, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak boleh memandang kes-kes ini sebagai rutin statistik dan kajian akademik semata-mata.

“Isu ini wajib dikaji dan diberi solusi menyeluruh dengan kadar segera memandangkan ia berkait rapat dengan kebajikan dan hak asasi anak-anak kecil yang bakal mewarisi negara,” tambahnya lagi.