Masalah tumor lama tidak berulang, PM bakal keluar hospital beberapa hari lagi

Oleh ARIF ATAN

Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dijangka dibenarkan keluar dari hospital dalam beberapa hari lagi, kata Pejabat Perdana Menteri.

Menerusi kenyataan hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga didapati tiada bukti menunjukkan masalah tumor lama beliau sebelum ini berulang.

“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri kini berada di hospital untuk terus mendapatkan rawatan antibiotik intravena.

“Keadaan (kesihatan) beliau adalah stabil dan bertambah baik serta dibenarkan bertugas semasa rawatan,” katanya dalam kenyataan itu.

Mahiaddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dimasukkan ke hospital, 30 Jun lalu, akibat jangkitan pada sistem penghadaman.