Masalah utama orang Islam bukan ICERD tetapi mindset, kata Mahfuz

Masalah utama orang Islam bukan ICERD tetapi mindset, kata Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan masalah utama masyarakat Islam hari ini bukan kerana ratifikasi ICERD tetapi set minda (mindset).

Menurutnya, kelemahan jati diri dan nilai hidup sebahagian masyarakat Islam mesti ditangani agar tidak hanya menganggap ICERD akan mengancam kedudukan mereka.

“Mereka bimbang kalau ICERD diterima nanti terjejaslah kepentingan umat Islam. Berapa ramai orang Islam tidak celik al-Quran. Adakah ini kerana masalah ICERD?

“Tanpa meratifikasi ICERD pun, ramai umat Islam buta al-Quran, timbulnya isu anak luar nikah dan penagihan dadah dalam kalangan umat Islam,” ujarnya ketika ucapan perasmian Konvensyen AMANAH Perak kali ketiga di Bandar Meru Jaya, Ipoh pagi ini.

Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, sikap menyalahkan pihak lain harus dikikis dengan melakukan perubahan ‘mindset’ demi memajukan diri dan masyarakat.

“Kita selalu salahkan orang lain tapi pada masa sama ubat Islam tidak menyiapkan diri mereka untuk memastikan mereka berada dalam kedudukan terbaik.

“Jangan salahkan orang lain. Mari kita bina dan perkukuh akhlak Islam. Kita yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan AMANAH di segenap peringkat membina keperluan minda dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Ini juga cabaran AMANAH. Tiada orang bukan Islam halang kita menghafal al-Quran. Ini sampai rindu darah DAP, rindu darah 13 Mei. Kenapa, perlu sampai begitu?” ujar Mazfuz lagi.