Masih ada ruang dan peluang tamatkan konflik di Yaman

Masih ada ruang dan peluang tamatkan konflik di Yaman

Menteri-menteri luar United Kingdom, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu yang bertemu di Warsaw, Poland bagi membincangkan situasi di Yaman, sepakat bahawa masih ada “ruang dan peluang” untuk menamatkan konflik di negara itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan pada Khamis.

Menurut kenyataan dikeluarkan susulan Mesyuarat Empat Pihak berkaitan isu Yaman yang berlangsung selama dua hari, mereka bersetuju melipatgandakan usaha untuk mencapai satu penyelesaian politik.

Menekankan komitmen mereka untuk mencari satu penyelesaian politik yang komprehensif, kesemua menteri meminta pihak berkaitan di Yaman agar mempercepat dan melaksanakan sepenuhnya persetujuan yang dicapai pada Disember 2018 di Sweden “demi rakyat Yaman.”

Mereka menyambut baik persetujuan awal yang dicapai berhubung penempatan semula anggota tentera di bandar Hudaidah oleh Jawatankuasa Penyelarasan Penempatan Semula (RCC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka juga menggesa puak Houthi dan kerajaan Yaman mengesahkan komitmen masing-masing terhadap pelan itu dan segera menjalin kerjasama dengan RCC serta Misi PBB bagi menyokong Perjanjian Hudaidah (UNMHA) untuk melaksanakan penempatan semula pasukan tentera secara bersama dari Hudaidah dan semua pelabuhan Hudaidah, Salif dan Ras Issa bagi memenuhi tanggungjawab mereka.

Menteri terbabit menegaskan bahawa tidak perlu ada lagi “taktik melengah-lengahkan” pelaksanaan Perjanjian Hudaidah dan bersetuju memantau situasi itu, menyelarasnya dengan teliti serta bertemu lagi jika terdapat sebarang kelewatan lanjut.

Mereka menggesa semua pihak di Yaman – terutama puak Houthi, yang masih menguasai pelabuhan Hudaidah, Salif dan Ras Isa – memastikan keselamatan anggota UNMHA serta memudahkan pergerakan kakitangan terbabit, peralatan, peruntukan dan bekalan penting tanpa sebarang kekangan ke Yaman dan dalam negara itu selaras dengan Resolusi 2452 Majlis Keselamatan PBB.

Yaman yang miskin terus terjebak dalam kancah keganasan sejak 2014 apabila puak Houthi menguasai kebanyakan kawasan di negara itu, termasuk ibu kota Sanaa.

Konflik itu terus meningkat pada 2015 apabila Arab Saudi dan sekutunya melancarkan satu kempen serangan udara yang dahsyat di Yaman bagi merampas kembali kawasan yang dikuasai puak Houthi.

— BERNAMA