Pelbagai jenis taktik digunakan penipu untuk mendapatkan wang melalui jalan pintas dengan memperdaya orang ramai.
Walaupun pelbagai peringatan sudah dikongsikan di sosial media tapi masih ramai lagi tertipu dengan sindiket ‘phone scam’.
Terbaru, seorang peniaga kerugian sebanyak RM692,500 apabila wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji (TH) miliknya lesap.
Menurut Kosmo, peniaga tersebut memaklumkan dia diperdaya seseorang yang menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki itu menerima panggilan daripada MCMC pada 28 Januari lalu dan memaklumkan bahawa dia terlibat dalam penipuan wang haram.
Mangsa berusia 38 tahun kemudian diarahkan untuk berhubung dengan lelaki dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.
Lelaki tersebut dimaklumkan bahawa dia terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah.
“Talian kemudian disambungkan kepada pegawai polis iaitu Asisten Komisioner Ismail sebelum mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM).
“Mangsa mengisi maklumat diri termasuk dua akaun bank miliknya. Pada 30 Januari lalu, lelaki itu memindahkan wang RM300,000 daripada akaun ASB ke salah satu akaun banknya.
“Mangsa kemudiannya pergi ke Tabung Haji untuk memindahkan wang RM400,000 ke dua akaun banknya pada 4 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Dua hari selepas kejadian, sindiket tersebut telah membuat pemindahan wang mangsa ke akaun sebuah bank atas nama Go Tian Tian dan Izzu 2023 Enterprise secara berperingkat.
Selepas menyemak akaun bank miliknya, mangsa mendapati wangnya telah lesap dan segera menyekat semua akaun tersebut.
Baca juga: Patutlah Dharma Harun menangis ketika diziarah wakil Anwar, rupanya ini puncanya