Malaysia Dateline

Masih awal bentuk kerajaan campuran, kata Pemuda Pas

Masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai  pembentukan kerajaan perpaduan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis, kata seorang pemimpin PAS hari ini.

Naib Ketua Pemuda Pas Pusat Ahmad Fadhli Shaari berkata  cukuplah Umno dan Passekadar mempunyai pesefahaman dalam beberapa isu.

“Bagi saya cukuplah sekadar sekiranya Umno dan Pas  mempunyai persefahaman dalam beberapa isu dan lakukan rundingan dari masa ke semasa khususnya untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke 15 (PRU-15) akan datang.

“Namun begitu, kami sentiasa patuh apa sahaja keputusan daripada pucuk pimpinan parti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berkata demikian sebagai mengulas cadangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya diwujudkan kerajaan perpaduan di  Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis, baru-baru ini.

Jelasnya, sekiranya pucuk pimpinan parti menerima cadangan Mohamad Hasan itu sudah pasti ianya memerlukan masa untuk diberikan kefahaman kepada penyokong dan pengundi kedua-dua parti di peringkat akar umbi.– BERNAMA