Malaysia Dateline

Masih belum ada keputusan siapa PM – Anwar

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kerusi Perdana Menteri Ke-10 masih kosong.

Beliau berkata, masih belum ada keputusan berhubung perkara itu sekaligus menolak dakwaan beliau merupakan Perdana Menteri Interim seperti yang dilapor beberapa portal tempatan.

“Tak ada apa-apa keputusan lagi setakat ini. Sekarang ini ada kekosongan jawatan (PM) dan terbuka untuk permohonan,” katanya seloroh ketika ditemui pemberita selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Pada masa sama, ditanya tentang adakah beliau dilantik Perdana Menteri Interim, Anwar mengulangi mengatakan masih belum ada keputusan.

“There is no decision. Kita minta pertimbangan dan kebijaksanaan Agong serta ihsan baginda untuk memutuskan sebaiknya.

“Setakat ini kalau dari HARAPAN, ahli-ahli Dewan Rakyat menamakan nama Anwar Ibrahim,” katanya lagi sambil memaklumkan tidak akan berlaku kerajaan minoriti.

Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN Mahiaddin Md Yassin saling bersaing untuk menawan Putrajaya dengan kedua-duanya mendakwa mempunyai majoriti.

Yang di-Pertuan Agong telah memberikan tempoh kepada kedua-duanya sehingga 2 petang tadi untuk membuktikan sokongan mereka.

Bagaimanapun Agong mendapati tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat yang mempunyai majoriti seterusnya baginda perkenan titah menghadap di Istana Negara jam 4.30 petang tadi.