Malaysia Dateline

Masih dakwa adik guna akaun selepas SC dedah Azam Baki yang kawal?

Sebagaimana kita semua sedia maklum, dalam pengakuan awalnya berhubung kontroversi pemilikan berjuta saham yang dikaitkan dengannya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dengan tegas menolak saham-saham itu merupakan miliknya.

Sebaliknya, kata beliau, akaunnya telah digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk tujuan itu.
Azam turut memaklumkan, saham-saham atas namanya itu sudah pun dipindah-milik kepada adiknya.

Namun demikian, hasil siasatan SC yang diumum dalam kenyataan media ketika cuti Thaipusam memaklumkan, tiada bukti konklusif ditemui bahawa perdagangan proksi telah dilakukan oleh Azam dalam urusan pembelian saham melibatkan akaunnya itu.

Menurut SC lagi, Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.

“Azam mengendalikan akaun yang dibukanya, kerana dia telah memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun tersebut.

“Oleh itu, SC membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA),” tambah kenyataan media itu.

Walaupun diketahui sebelum ini Azam mengatakan adiknya telah menggunakan akaun namanya untuk membeli saham-saham itu, namun sebagai respon kepada hasil siasatan SC yang membersihkan namanya dengan dapatan bahawa beliau sendiri yang mengawal akaunnya, beliau tetap mengucap syukur atas perkara itu.

“Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh SC yang telah mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh saya.

“Saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara ini tanpa mengira darjat atau pangkat,” katanya.

Agak-agaknya kalau kita ada kesempatan bertanya kembali kepada Azam mengenai kontroversi saham atas namanya itu sekarang ini, apakah jawapan yang akan keluar daripada mulutnya?

Adakah beliau kekal dengan pendirian sebelum ini bahawa akaunnya telah digunakan oleh adiknya atau beliau sudah berubah senada dengan SC bahawa memang beliau selama ini yang mengawal akaunnya itu?

Tentu seronok untuk melihat di mana kejujuran Azam dalam hal ini.

Lebih seronok lagi rasanya kalau kita ada peluang bertanya kepadanya soalan tersebut di dalam masjid sebelum atau selepas sama-sama bersujud kepada Tuhan.