Malaysia Dateline

Masih jalani rawatan pemulihan, Tun M keluar IJN sejak kelmarin

Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjalani proses rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menerusi kenyataan pejabatnya, Dr Mahathir dibenar pulang ke rumah dan kemudian kembali semula ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

Katanya, bekas Perdana Menteri berkenaan akan terus menjalani rawatan pemulihan dan buat masa ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.

Dalam masa sama, Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut mengucapkan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan daripada orang ramai.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam video ringkas dikongsi di akaun Youtubenya memberitahu keadaan kesihatannya.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya sudah pulih, (walaupun) tak sepenuhnya. Tiap-tiap hari, saya balik ke rumah dari hospital.

“Saya balik dari pagi sampai petang, lepas itu saya balik (semula) ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka ingin teruskan,” katanya lagi.