Masih pelawak meskipun sandang jawatan CEO, Ilham Abata seimbangkan 2 kerjaya

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang untuk membuat dua kerja terutamanya jika ia bidang yang berbeza, namun itulah yang dilakukan banyak pihak demi menyara keluarga.

Buat pelawak Ilham Abata, kerjayanya dalam bidang seni tidak menjadi penghalang untuk dia menjadi Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Karyaloka Studios Sdn. Bhd.

Buat pelawak berusia 36 tahun itu, dia hanya memerlukan pembahagian masa yang betul agar dapat memberi keuntungan buat kerjaya dan syarikat lapor Kosmo.

“Walaupun sibuk dengan syarikat, tetapi saya masih lagi bergerak aktif sebagai pelawak. Begitu juga ketika saya menyertai rancangan Muzikal Lawak Superstar 2024 (MLS2024). Ketka itu saya sudah pun memiliki syarikat ini.

“Memang agak pening sedikit, tetapi insya-Allah dengan izin Allah semua usaha ini akan uruskan dengan baik,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Jelasnya, dia juga tidak akan menerima bayaran atas namanya, sebaliknya ia akan dilakukan terus kepada syarikat bagi membantu syarikat untuk menjana pendapatan.

“Tugas saya sebagai CEO sekarang ialah memastikan jenama syarikat dikenali dan pada masa sama memberi keuntungan kepada syarikat.

“Apabila mereka menggunakan khidmat saya sama ada sebagai penulis skrip, pelawak, pengacara majlis atau sebagainya, bayaran itu akan diberikan kepada syarikat.

“Saya tidak lagi menerima bayaran secara terus lagi selepas ini,” jelasnya.

Baca juga: Pemuda luah rasa pelik kedai makan kenakan caj RM20 untuk lauk tempe ikan bilis ‘ciput’