Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bersetuju dengan desakan membenarkan pengeluaran kali kelima duit caruman kerana ketika ini bukan masa kecemasan seperti tempoh penularan Covid-19.
Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata, kajian dari badan itu mendapati hanya pengeluaran yang dibuat semasa i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sahaja benar-benar untuk keperluan harian pencarum seperti pembelian makanan dan barangan serta untuk membayar hutang, lapor Utusan Malaysia semalam.
“Tetapi apabila memasuki pengeluaran khas keempat semasa hari raya tahun lalu berjumlah lebih RM40 bilion, pengeluaran itu lebih kepada perkara lain seperti untuk melabur termasuk untuk membeli emas dan untuk simpanan kecemasan,” katanya seperti dipetik akhbar itu.
Nurhisham berkata, membenarkan pengeluaran pusingan kelima akan menjejaskan strategi pelaburan jangka panjang KWSP kerana ia tidak akan dapat melabur sebanyak yang diingini dan ini akan memberi kesan kepada dividen tahun depan kepada pencarumnya.
Menurutnya, KWSP dan pencarum perlu kembali menghayati matlamat asal penubuhan agensi itu iaitu menyimpan untuk kegunaan hari persaraan.
Nurhisham juga memberitahu bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara yang membenarkan pencarumnya membuat empat kali pengeluaran khas dan akhirnya mencecah jumlah RM145 bilion.
Beliau berkata terdapat negara lain yang membenarkan warga kerjanya mengeluarkan dana pencen mereka semasa kemuncak wabak pada 2020 dan 2021, tetapi mengehadkan jumlah pengeluaran, menyenaraikan Australia dan Chile sebagai contoh.
“Kami sahaja yang membuat pengeluaran sebanyak empat kali,” katanya dipetik sebagai berkata, sambil menambah jumlah yang dibenarkan untuk dikeluarkan melalui pelbagai skim kerajaan juga adalah yang tertinggi.
Beliau berkata, Singapura mahupun India tidak membenarkan pekerjanya mengeluarkan wang daripada dana pencen mereka.
Baca juga: Hadiah paling ‘rare’, cikgu terkejut dapat ayam hutan hidup