Masih terlantar di ICU, lebih 300 penyokong adakan solat hajat dan bacaan Yasin buat Faisal Halim

Oleh KIM SYAZIE

Selepas hampir seminggu terlantar di hospital, lebih 300 jemaah termasuk penyokong setia Selangor FC dan Harimau Malaya dilaporkan menyertai solat hajat di Masjid Ara Damansara bagi memohon kesejahteraan dan kesihatan buat Faisal Halim.

Lapor Harian Metro, pemain sayap kebangsaan itu ketika ini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital swasta di Shah Alam selepas diserang oleh dua individu tidak dikenali yang menyimbah asid ke badannya.

Susulan daripada kejadian itu, Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey disahkan mengalami lecuran tahap empat di badannya dan perlu menjalani empat kali proses pembedahan.

Solat hajat dianjurkan stesen radio Hot FM itu diimamkan oleh penolong pengurus merangkap imam kedua Masjid Ara Damansara, Ustaz Kamarul Ikram Misnan.

Selepas selesai solat hajat, ia diteruskan dengan bacaan Yasin dan doa selamat buat Faisal.

Antara penyokong tegar Red Giants yang hadir adalah Mohd Shahin Shah Mohd Hanafiah.

“Saya rasa amat kecewa. Sebelum kejadian itu, saya ada berjumpa Faisal pada majlis perasmian baju dia. Tapi lepas itu saya dapat tahu dia kena simbah asid.

“Saya doakan Faisal cepat baik dan cepat sembuh,” katanya seperti dilapor. 

Sementara itu pelawak tempatan, Atu Zero atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif mendoakan agar Faisal segera sembuh dan dapat kembali memperkuatkan pasukan Selangor dan Harimau Malaya.

“Saya berharap kepada beliau (Faisal) teruskan semangat, ingat Faisal tidak keseorangan.

“Di sosial media pun Faisal boleh lihat ramai yang rata-rata mendoakan kebaikan untuk Faisal. Jadi saya mengharapkan kebaikan Faisal dan kembali ke Harimau Malaya,” kata Atu.

Baca juga: 3 tahun menyimpan, penjual martabak berjaya bayar deposit rumah guna duit syiling