Malaysia Dateline

Masin mulut Exco, dapat jadi pegawai kebajikan

Semalam 21 Nov 2020 giliran rakyat Kelantan di bawah PKPB. Alasannya, walaupun jumlahnya masih kecil tetapi adalah perlu bagi membendung penularan wabak Covid 19 dari merebak ke seluruh daerah berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walau tiada kenaikan mendadak, sehari sebelumnya, seorang Exco telah memberi bayangannya dengan membuat satu posting memohon respon untuk PKPB dilaksana di Kelantan.

Saya tidak pasti samada ianya kebetulan atau memang Exco berkenaan masin mulut. Atau mungkin juga teruja dengan kenaikan gaji yang telah dibackdated dari Januari 2020 beliau menjadi sangat seronok dan lupa kesan yang bakal menghimpit rakyat biasa yang terbanyak.

Rakyat akur dengan hati yang berat. Tiada bantahan demi kebaikan semua. Akan tetapi, berat lagi mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Umum sudah mengetahui SOP PKPB. Pergerakan menjadi terbatas. Masa perniagaan disingkatkan. Ramai yang kehilangan pekerjaan. Rakyat akan terbeban teruk.

Norma baru terkini ialah rakyat perlu berani bingkas bangun ke rumah YB dan Exco. Duit gaji yang terkumpul sebegitu banyak lebih dari cukup untuk menjiwai tugas Pegawai Kebajikan Masyarakat seperti yang diungkitkan sebelum ini. Rakyat perlu dibantu untuk dibawa secara berjemaah ke rumah YB dan Exco. Jangan pulak pintu pagar sering berkunci atau hanya Bibik memuncung yang terpacul di pintu.

Apatah lagi bayaran royalti minyak sebanyak RM403.25 juta sudah diterima oleh kerajaan negeri. Keperluan rakyat yang terabai sudah boleh diatasi. Harapnya tiada lagi saranan supaya minum air telaga, mandi air sungai dan menadah air hujan dalam usaha menutup kegagalan kerajaan negeri mengatasi masalah tuntutan air bersih dari rakyat untuk kesekian lama.

Jangan selamanya rakyat diperbodohkan. Hafalan ayat Al Quran untuk melunakkan apa jua alasan sudah lama dihidu oleh rakyat. Itu pun belum dijelaskan kemana dibelanjakan RM 400 juta ONE OFF sebelum ini.

Esok lusa bahana tengkujuh menerjah pulak. Selamat menjadi Pegawai Kebajikan Masyarakat.

—————————
Penulis adalah Naib Pengerusi AMANAH Kelantan/Ketua AMANAH Kawasan Pasir Mas.